
SEREMBAN – Kerajaan menyasarkan harga minimum getah mencecah RM5 sekilogram menjelang penghujung 2027 sebagai usaha mengembalikan maruah industri getah sekali gus meningkatkan taraf hidup lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil dicapai sekiranya pelbagai pendekatan strategik dilaksanakan oleh pengurusan baharu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Menurutnya, harga RM5 sekilogram merupakan kadar yang lebih bermaruah dan mampu memberi kehidupan lebih baik kepada golongan pekebun kecil.
“Saya mahu mencari jalan supaya pada penghujung tahun 2027 nanti kita dapat memastikan harga minimum getah ialah RM5 sekilogram.
“Itulah harga yang bermaruah. Itulah harga yang boleh mempertingkatkan status sosial pekebun kecil getah di negara ini,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Tengah 2026 di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, ketika ini terdapat lebih 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara, termasuk kira-kira 43,000 orang di Negeri Sembilan yang bergantung kepada komoditi itu sebagai sumber pendapatan.
Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengadakan penyelarasan dengan pengurusan tertinggi RISDA bagi memastikan agensi itu memainkan peranan lebih besar sebagai pembeli utama getah negara. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan sasar harga getah RM5 sekilo menjelang hujung 2027 appeared first on Kosmo Digital.


