Kerajaan sasar harga minimum getah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 5:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan sasar harga minimum getah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027

SEREMBAN: Harga minimum getah disasarkan mencecah RM5 sekilogram menjelang akhir tahun 2027 menerusi pelbagai mekanisme yang akan dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) diarahkan untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan sasaran berkenaan dapat direalisasikan.

Menurutnya, langkah itu penting dalam usaha meningkatkan pendapatan serta taraf sosioekonomi lebih 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

“Pada akhir tahun 2027, cari jalan pastikan harga minimum getah RM5 sekilogram. Itulah harga yang bermaruah dan boleh mempertingkatkan status sosioekonomi pekebun kecil.

“Ini arahan yang mesti dilaksanakan oleh pengurusan Risda untuk terus membela nasib pekebun kecil,” katanya ketika berucap pada Program Konvensyen Pekebun Risda Zon Tengah 2026 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan perlu campur tangan bagi meningkatkan harga getah menerusi strategi pemasaran serta pembangunan industri hiliran selain mengurangkan kebergantungan terhadap turun naik pasaran komoditi dunia.

Sehubungan itu, katanya, Risda akan diperkasakan sebagai pembeli utama getah bagi memberi pilihan pasaran lebih baik kepada pekebun kecil selain membantu menstabilkan harga komoditi berkenaan.

“Oleh itu, selain meningkatkan hasil getah, pekebun kecil perlu diberikan peluang mempelbagaikan pendapatan melalui tanaman integrasi, agromakanan, penternakan, keusahawanan dan aktiviti ekonomi tambahan.

“Kita mahu pekebun kecil mempunyai minda daripada sekadar menjual hasil kepada usahawan komoditi yang memahami pasaran, mengurus kos, menggunakan teknologi serta mampu menghasilkan produk bernilai tambah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan terhadap penjualan getah mentah dengan memperluaskan penghasilan produk berasaskan getah yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

“Kita mesti kreatif menghasilkan produk daripada bahan getah. Kita tidak seharusnya menjual bahan getah secara mentah tetapi menghasilkan produk separuh siap atau produk akhir supaya nilainya dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut mempergiatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaksanaan program penanaman semula pokok getah tua.

Menurutnya, pokok getah yang ditebang tidak akan dibazirkan, sebaliknya diproses menjadi kayu getah untuk industri perabot menerusi anak syarikat Risda sekali gus mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada agensi berkenaan.

“Semua penghasilan itu dapat menampung jika berlaku turun naik harga di peringkat pasaran getah antarabangsa supaya apabila harga turun, kita tetap dengan harga yang sebegitu (RM5 sekilogram),” katanya.-UTUSAN

The post Kerajaan sasar harga minimum getah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved