liza07/10/2026 - 17:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt – Kerajaan akan meneruskan konsolidasi fiskal dan pengurusan hutang secara berhemat bagi mengawal kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM1.321 trilion atau 65.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2025.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata langkah itu penting bagi memastikan trajektori hutang Kerajaan Persekutuan dapat dikurangkan secara berperingkat ke arah sasaran di bawah 60% KDNK dalam jangka sederhana.
Beliau berkata, usaha berkenaan dilaksanakan selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) serta kerangka Ekonomi MADANI, dengan kerajaan turut menetapkan sasaran defisit fiskal tidak melebihi 3% KDNK dalam jangka sederhana.
Pinjaman baharu terus dikurangkan
Menurut Liew, konsolidasi fiskal telah membantu mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5% pada 2022 kepada 3.7% pada 2025.
“Jumlah pinjaman baharu Kerajaan Persekutuan turut berkurang daripada RM100.3 bilion pada 2022 kepada RM75.6 bilion pada 2025, manakala pertumbuhan hutang diperlahankan daripada 10.2% kepada 5.9% dalam tempoh sama.
“Kerajaan akan meneruskan konsolidasi fiskal secara berperingkat dengan mengimbangi keperluan disiplin fiskal, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Pengurangan defisit fiskal akan membantu mengurangkan keperluan kerajaan membuat pinjaman baharu, sekali gus menyokong usaha mencapai sasaran hutang di bawah 60% KDNK dalam jangka sederhana,” katanya dalam ucapan penggulungan Usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Parlimen hari ini.
Kawal perbelanjaan, tingkatkan hasil
Antara langkah yang diambil ialah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, termasuk melalui penyasaran subsidi diesel dan RON95.
Beliau berkata penjimatan daripada langkah tersebut disalurkan kepada kumpulan yang memerlukan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Payung RAHMAH.
Pada masa sama, kerajaan memperkukuh asas hasil melalui peluasan asas cukai termasuk Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-Invois, peningkatan kecekapan kutipan hasil serta usaha mengurangkan ketirisan.
Langkah itu juga bertujuan memastikan lebihan semasa dapat dikekalkan untuk membiayai sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan.
ARTIKEL BERKAITAN: Hutang Kerajaan Persekutuan naik 5.9% kepada RM1.321 trilion - Laporan Ketua Audit Negara
RM8.08 bilion pinjaman masih tertunggak
Dalam pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut pula, kerajaan merekodkan bayaran balik tertunggak berjumlah RM8.084 bilion setakat 31 Disember 2025.
Jumlah itu merangkumi tunggakan prinsipal RM5.709 bilion serta faedah dan faedah lewat RM2.375 bilion, dengan kadar tunggakan sebanyak 15.67%, lebih rendah berbanding purata 21% bagi tempoh 2020 hingga 2022.
Liew berkata, kebanyakan pinjaman tersebut digunakan untuk projek asas awam seperti bekalan air bersih, pembetungan, perumahan awam kos rendah dan pengangkutan awam.
Beliau berkata syarikat merupakan kategori peminjam terbesar dengan 62%, manakala Kerajaan Negeri kira-kira 32%.
“Oleh itu, kerajaan akan meneruskan penstrukturan semula bayaran berdasarkan kemampuan kewangan, tahap keberhutangan semasa dan unjuran aliran tunai peminjam, termasuk melanjutkan tempoh pembayaran balik jika bersesuaian.
Syarat pembiayaan baharu diperketat
“Bagi memastikan tunggakan baharu tidak terus bertambah, penilaian daya maju akan diwajibkan sebelum pinjaman baharu diluluskan dan jumlah pembiayaan akan dihadkan kepada keupayaan sebenar peminjam membayar balik.
“Jika kemampuan peminjam terhad, baki pembiayaan projek boleh dicadangkan dalam bentuk geran. Kerajaan juga mencadangkan projek yang mempunyai kewajipan sosial dibiayai melalui peruntukan pembangunan dalam bentuk geran berbanding pinjaman komersial,” katanya.
Bagi permohonan pinjaman baharu melibatkan Kerajaan Negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (MKD), cagaran seperti tanah yang nilainya bersamaan jumlah pinjaman akan diperlukan bagi membolehkan tuntutan dibuat sekiranya berlaku kegagalan bayaran balik.
Penghapusan kira pula hanya dipertimbangkan selepas semua usaha kutipan dan tindakan undang-undang gagal. Bagi syarikat, penghapusan kira hanya boleh dipertimbangkan selepas syarikat berkenaan disahkan tidak mampu membayar hutang oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta mendapat pandangan Bahagian Undang-Undang Kementerian Kewangan.
Tambahnya, kerajaan turut menggunakan Notis Perubahan sekiranya peruntukan pinjaman yang diluluskan tidak dibelanjakan dalam tempoh ditetapkan, membolehkan kementerian penyelia mencadangkan supaya peruntukan itu disalurkan semula atau dihadkan.
“Kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan pengurusan kewangan termasuk Akta Perolehan Kerajaan 2025, rasionalisasi entiti kerajaan, projek bayar oleh pengguna melalui PIKAS 2030 serta Akta Komitmen Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 bagi menyokong usaha meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan mencapai sasaran fiskal Kerajaan,” katanya.- DagangNews.com





