Kerajaan Sedia Pinda RUU Pembaharuan Semula Bandar - PM

LocalPolitics
28 Aug 2025 • 4:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersedia meminda cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB), termasuk menyesuaikan isu peratusan persetujuan pemilik hartanah yang menjadi kebimbangan di Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada sebarang undang-undang yang sempurna dan beliau mengalu-alukan cadangan membina untuk menambah baik RUU tersebut.

“Saya mesti tekankan di sini, Yang Berhormat Larut, saya mengalu-alukan (maklum balas) ini kerana tiada satu pun undang-undang yang boleh dianggap sempurna. Jadi, berikan cadangan, dan jika perlu, kita boleh pinda RUU Pembaharuan Semula Bandar pada peringkat seterusnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), yang bertanya sama ada bacaan kedua rang undang-undang tersebut boleh ditangguhkan bagi memberi ruang kepada perbincangan lanjut, sebelum pihak pembangkang membuat keputusan untuk menyokong atau sebaliknya. 

Anwar pada sesi itu turut menolak sekeras-kerasnya naratif berbaur perkauman berkaitan RUU berkenaan, khususnya tuduhan bahawa ia adalah strategi oleh komuniti Cina untuk merampas hak orang Melayu.

“Jangan kita andaikan bahawa RUU Pembaharuan Semula Bandar ini adalah strategi Cina untuk mengambil hak Melayu. Saya tidak bersetuju dengan itu. Saya bukan boneka. Saya berada di Dewan ini dengan mandat rakyat, dan saya mesti mempertahankan kepentingan majoriti Melayu Bumiputera,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, kerajaan kekal terbuka untuk memperhalusi undang-undang terbabit berdasarkan cadangan yang baik, termasuk perubahan terhadap peratusan persetujuan.

“Sama ada peratus persetujuan itu 30, 40 atau 50 peratus, ia adalah perincian yang memerlukan perbincangan mendalam. Tetapi kita tidak boleh membiarkan pembangunan bandar terabai,” katanya.

Merujuk kepada keadaan perumahan di ibu negara, Anwar berkata, ibu negara dihiasi pelbagai mercu tanda termasuk Menara Berkembar Petronas, namun kediaman segelintir penduduk masih dalam keadaan daif. 

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan semula bandar untuk menyediakan keadaan hidup yang lebih baik, khususnya buat majoriti Melayu.

“Kita mesti melihat perkara ini dalam konteks yang betul dan memberi peluang kepada kerajaan untuk membina perumahan yang lebih selesa dan sesuai dengan zaman sekarang, kerana majoriti penduduk adalah orang Melayu,” j. – Getaran, 28 Ogos 2025