Kerajaan Setuju Mansuh Hukuman Mati Mandatori, Bakal Dibentangkan Di Parlimen

LocalPolitics
14 Sep 2022 • 10:40 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Cadangan menggantikan hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan termasuk satu kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) telah dipersetujui oleh kerajaan.

Persetujuan secara dasar itu membabitkan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati, tetapi dengan budi bicara mahkamah serta moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi 1,337 orang banduan.

Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan dasar berhubung pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori tersebut telah dimuktamadkan oleh kerajaan.

Tambahnya lagi, keputusan tersebut dicapai dalam 2 siri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Cadangan Balas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang telah dipengerusikan olehnya pada 6 dan 13 September 2022.

image is not available

“Kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan hukuman gantian bagi 11 kesalahan termasuk satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234)”

Wan Junaidi turut menjelaskan, satu memorandum berkenaan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat kabinet untuk dipertimbang serta diluluskan sebelum pindaan undang-undang terlibat dibentangkan.

Difahamkan, bacaan pertama akan diadakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 Oktober serta bacaan kedua pada sidang yang bakal berlangsung pada 22 November nanti.

Selain itu, kerajaan juga akan mengadakan satu sesi libat urus bersama wakil ahli Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membentangkan penetapan dasar berkaitan pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

Pada Jun lalu, Wan Junaidi memaklumkan persetujuan kerajaan bagi memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah dan keputusan tersebut dicapai susulan pembentangan laporan oleh jawatankuasa teknikal.

image is not available

 

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.