
Perbincangan mengenai pemansuhan serta penggantian hukuman mati mandatori kini semakin hampir mencapai kata putus.
Terbaru, kerajaan telah bersetuju untuk meminda tujuh akta berkaitan pelaksanaan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Parlimen), Datuk Seri Azalina Othman Said, mesyuarat Kabinet semalam telah meneliti dan membincangkan semula cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
Tujuh akta tersebut ialah;
- RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022
- RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022
- RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022
- RUU Penculikan (Pindaan) 2022
- RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022
- RUU Senjata (Pindaan) 2022
- RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022
KENYATAAN MEDIA: HUKUMAN GANTIAN UNTUK HUKUMAN MATI MANDATORI OLEH KERAJAAN PERPADUAN pic.twitter.com/uPj5msZj18
— Azalina Othman Said (@AzalinaOthmanS) December 21, 2022
“Penangguhan pelaksanaan hukuman mati (Moratorium) masih dikekalkan bagi pesalah hukuman mati sehingga semua pindaan RUU tersebut dilaksanakan.
Pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini dijangka akan memberi kesan langsung kepada seramai 1,327 orang banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama Azalina memberitahu, pindaan undang-undang yang berkaitan tidak memansuhkan hukuman mati sepenuhnya tetapi memberi budi bicara kepada Mahkamah untuk memutuskan hukuman yang setimpal berdasarkan fakta kes.
Katanya lagi, pelaksanaan cadangan hukuman gantian ini merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


