
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan Selangor telah memutuskan untuk melaksanakan aktiviti penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor sebagai langkah strategik jangka panjang penstrukturan semula industri itu bermula 2030.
Pengumuman tersebut kemudiannya telah mendapat pelbagai reaksi banyak pihak. Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula 2026 sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Pada 12 Januari, baginda menitahkan penternakan babi sedia ada di Tanjong Sepat dihentikan secara beransur-ansur dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar mengikut perancangan tersusun.
Malah Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Selangor Titah Tiada Lagi Ladang Babi Di Tanjong Sepat
Kerajaan Persekutuan Tak Halang Jika Selangor Laksana Penternakan Babi Berpusat
Terbaharu, Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor jika kawasan itu sesuai dalam aspek persekitaran serta pengurusan.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, sebarang projek penternakan bagaimanapun perlu memenuhi keperluan alam sekitar dan dilaksanakan mengikut perancangan strategik.
“Ya, sebarang pemindahan ternakan (ladang babi) kena memenuhi kehendak alam sekitar. Maka kalau didapati bahawa di Bukit Tagar itu lebih sesuai, maka kita di peringkat Persekutuan tidak ada masalah apa yang nak dibuat oleh kerajaan negeri itu,” katanya hari ini (16 Januari) dalam satu sidang media.
Pastikan Tiada Sebarang Pencemaran Berlaku Disebabkan Penternakan Babi
Memetik Berita Harian, kementerian itu mengalu-alukan projek terbabit sekiranya semua syarat yang ditetapkan dan dipatuhi sewajarnya, terutamanya dalam menjaga kesejahteraan penduduk setempat.
“(Namun) mesti pergi kepada pemodenan untuk mengelakkan pencemaran dan kalau ianya dilakukan dengan sistem yang moden, tidak berlaku pencemaran yang berleluasa, maka kita pihak Persekutuan, pihak KPKM mengalu-alukan apa yang dilakukan di Selangor itu.”
Penternakan moden bagi ladang seluas 500 ekar itu bukan sahaja dikatakan mampu meningkatkan kecekapan pengurusan ternakan, malah memberi manfaat kepada alam sekitar dan komuniti di kawasan sekitar.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan menyegerakan proses kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi projek ladang penternakan babi yang baharu di Bukit Tagar.
Menurut Berita Harian, Amirudin berkata pembinaan ladang ternakan baharu memerlukan kajian EIA dan berkaitan kerana berkemungkinan wujud perumahan dan penempatan, selain kesan kepada alam sekitar.
“Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) bertitah disegerakan. Insya-Allah, kita akan laksanakan secepat mungkin dan perbincangan dengan pihak terbabit dilaksanakan segera.
“Kita akan tengok proses yang dibuat daripada EIA dan sebagainya. Kita mungkin perlukan masa tetapi kita cuba perkemaskan dengan cepat.”
