PAPAR – Kerajaan tidak dapat memberi jaminan bekalan minyak bagi tempoh jangka panjang sekiranya konflik di Asia Barat berpanjangan dan menjejaskan rantaian bekalan global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan ketika ini sedang melaksanakan pelbagai usaha termasuk bersama Petronas serta syarikat minyak lain bagi mendapatkan sumber bekalan alternatif.
Beliau berkata, setakat ini komitmen bekalan bagi Jun dan Julai telah diperoleh, namun cabaran utama yang masih perlu ditangani ialah aspek logistik penghantaran.
"Saya perlu berterus terang. Usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk Petronas dan syarikat-syarikat minyak lain untuk mendapatkan sumber bekalan alternatif sedang berjalan.
"Cuma, untuk memberikan jaminan jangka panjang sehingga enam atau tujuh bulan, kita tidak boleh memberi jaminan pada tahap sedemikian," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Turun Harga di Pasar Raya Bataras, di sini pada Ahad.
Sebelum itu, dalam ucapannya beliau menyentuh bahawa konflik Asia Barat yang berpanjangan akan memberi kesan kepada bekalan minyak negara.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar turut berkata, walaupun sumber bekalan bagi dua bulan terdekat sudah dikenal pasti, kelewatan penghantaran akibat faktor logistik masih menjadi kebimbangan kerajaan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pemantauan harian terus dilakukan bagi memastikan bekalan di stesen minyak seluruh negara kekal stabil dan mencukupi.
"Alhamdulillah bagi bulan Jun dan Julai, sumber bekalan itu telah pun diperoleh dari segi komitmen. Namun ada cabarannya. Cabarannya adalah dari segi logistik. Kita bimbang ada isu tertentu yang boleh menyebabkan bekalan itu lewat tiba.
"Sebab itu kita tidak boleh leka. Berbanding negara lain termasuk negara jiran, sekurang-kurangnya Malaysia dari segi bekalan itu masih terjamin dan berjalan lancar," katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat beberapa stesen minyak yang berdepan gangguan sementara, khususnya melibatkan bekalan diesel, namun situasi itu bukan berpunca daripada kekurangan stok.
Sebaliknya, katanya, ia lebih berkait dengan proses penghantaran dari pelabuhan ke lokasi stesen minyak, terutama di Sabah dan Sarawak yang mempunyai jarak logistik lebih jauh.
"Kadang-kadang bekalan diesel terhenti buat seketika dan ada yang mencatu, sedangkan perkara itu tidak dibenarkan. Selagi ada stok, mereka perlu terus menjual.
"Tindakan mencatu itu boleh diselesaikan dalam tempoh singkat kerana isunya bukan ketiadaan bekalan, tetapi isu penghantaran logistik termasuk yang terkesan ialah Sabah dan Sarawak," jelasnya.






