KPDN mahu pendakwaan kes AKB dipercepat

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 2:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPDN mahu pendakwaan kes AKB dipercepat
Armizan bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah stesen minyak di Taman Mount Austin pada Khamis.

JOHOR BAHRU – Usaha mempercepatkan pendakwaan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kini menjadi keutamaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperketat tindakan terhadap sindiket penyelewengan barang kawalan di negara ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan itu melibatkan keseluruhan rantaian proses undang-undang daripada siasatan hingga pendengaran kes di mahkamah supaya pelaku segera dihadapkan ke muka pengadilan.

"Keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) pada 6 April lalu bagi memperkukuh tindakan membanteras ketirisan khususnya melibatkan bahan api petrol dan diesel.

“Kita mahu proses ini dipercepat supaya ia menjadi mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan,” katanya pada sidang media di Taman Mount Austin, Khamis.

Armizan berkata, KPDN mendapat maklum balas positif daripada Jabatan Peguam Negara dan institusi kehakiman termasuk cadangan pelaksanaan saluran khas ‘fast-track’, pelantikan hakim khusus serta penyelarasan pengurusan kes.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada kes melibatkan kartel sindiket, manakala kes kecil boleh diselesaikan melalui pendekatan perundingan akuan bagi mempercepatkan pelupusan kes.

"Antara cadangan yang dikemukakan ialah penambahbaikan di peringkat kehakiman seperti penyediaan saluran fast-track, penetapan hakim khusus (designated judge) dan penyelarasan pasukan pengurusan kes antara agensi dan institusi bagi mempercepatkan proses pendengaran dan seterusnya pelupusan kes dalam tempoh munasabah," katanya.

Beliau berkata, fokus JTPAP adalah memastikan kes-kes yang dihasilkan melalui Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) akan segera diselesaikan ke pering pendakwaan dan pendengaran di mahkamah.

"Ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk membanteras aktiviti penyelewangan penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api dalam tempoh krisis tenaga global yang berlaku akibat konflik Asia Barat.

"Tindakan penguatkuasaan yang agresif dan tegas ini penting apabila konflik yang berlarutan sejak 28 Februari lalu membawa bukan sahaja krisis tenaga global tetapi kini memasuki fasa krisis bekalan global dan Malaysia tidak terkecuali dam menerima implikasi yang semakin membesar," katanya.

Beliau berkata, susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, JTPAP telah diaktifkan serta-merta dengan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bermula 16 Mac.

Operasi bersepadu itu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa merangkumi tiga sektor utama iaitu daratan, perairan dan sempadan.

Sepanjang tempoh 16 Mac hingga 22 April, sebanyak 20,020 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara, menghasilkan 362 kes serta penahanan 105 individu.

Daripada jumlah itu, kes membabitkan penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan jumlah tertinggi dengan 157 kes diesel dan 78 kes petrol, diikuti 49 kes gas petroleum cecair (LPG), 42 kes minyak masak, 26 kes gula serta 10 kes tepung gandum.

Bagi penguatkuasaan di Johor, beliau berkata, bagi tempoh sama sebanyak 2,227 pemeriksaan dilakukan yang merekodkan 23 kes.

Daripada jumlah kes tersebut katanya, komoditi diesel merekodkan kes tertinggi iaitu 13 kes, diikuti dua kes melibatkan penyelewengan bahan api petrol.