
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Pengangkutan bagi memperluaskan Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Usang susulan sambutan menggalakkan daripada pemandu teksi di seluruh negara.
Pengumuman itu dibuat ketika melancarkan Program Pembaharuan Teksi MADANI Kebangsaan di Dataran Merdeka hari ini, yang turut menyaksikan pengenalan kemudahan pembiayaan bagi membolehkan pemandu teksi yang layak memiliki Proton S70 menerusi inisiatif berkenaan.
Anwar berkata, peruntukan awal RM10 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 telah habis dimanfaatkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan, sekali gus mencerminkan permintaan tinggi dalam kalangan pemandu teksi untuk menggantikan kenderaan lama dengan model baharu.
“Kerana sambutannya begitu menggalakkan, saya meluluskan tambahan RM10 juta hari ini. Peruntukan ini khusus untuk teksi,” katanya.
Menurut beliau, Program Teksi MADANI dijangka meningkatkan pendapatan bersih bulanan pemandu kepada antara RM5,000 hingga RM7,000 menerusi pengurangan kos pembaikan dan penyelenggaraan, penambahbaikan skim pembiayaan serta pengurangan keseluruhan kos operasi.
Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan permit teksi diberikan terus kepada pemandu dan bukannya syarikat besar, sekali gus membolehkan mereka menikmati manfaat sebagai pemilik sebenar.
Beliau berkata, isu permit teksi yang diberikan kepada golongan berkepentingan berbanding pemandu telah lama dibangkitkan dan kerajaan kini berpandangan permit wajar diberikan kepada mereka yang benar-benar mengendalikan perkhidmatan itu.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memohon tambahan peruntukan RM10 juta selepas memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa peruntukan awal bagi program geran padanan itu telah habis dilanggan dalam tempoh tiga bulan.
Anwar berkata, kerajaan juga sedang bekerjasama dengan Proton, institusi kewangan dan kementerian berkaitan bagi membangunkan pakej pemilikan yang lebih mampu milik melalui pengurangan kos pembiayaan, kos penyelenggaraan dan caj perkhidmatan selepas jualan.
Katanya, usaha itu bertujuan mengurangkan beban kewangan pemandu teksi, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka menerusi kos operasi yang lebih rendah, sokongan kewangan yang lebih baik serta kecekapan perkhidmatan.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan membantu pemandu teksi menyesuaikan diri dengan teknologi digital termasuk aplikasi tempahan e-hailing, dan menggesa kementerian berkaitan membawa program latihan terus ke stesen teksi supaya pemandu dapat menyertainya tanpa menjejaskan waktu bekerja.
Anwar turut menyifatkan pemandu teksi sebagai antara barisan hadapan yang membentuk tanggapan awal pelancong terhadap Malaysia menerusi profesionalisme, mutu perkhidmatan dan layanan mereka, sambil menegaskan kerajaan akan terus memperkenalkan langkah bagi memperkukuh kebajikan golongan itu. - Getaran, 3 Julai 2026



