PM umum tambahan RM10 juta bantu pemandu teksi miliki Proton S70

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PM umum tambahan RM10 juta bantu pemandu teksi miliki Proton S70
Anwar (tengah) merasmikan gimik Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi memperkukuh pembangunan industri teksi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana tersebut bertujuan memperluaskan skim penggunaan Proton S70 sebagai teksi baharu serta mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung pemandu.

"Tambahan kerjasama dengan mengurangkan kos pembaikan dan penyelenggaraan, perkhidmatan dan lain-lain dan kos pinjaman, kita jangka ia boleh menambah pendapatan antara RM5,000 hingga RM7,000.

"Kerajaan telah teliti dari segala aspek bagi mengurangkan beban pemandu teksi," katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.

Anwar berkata, kerajaan akan terus mempertahankan dasar pemberian permit teksi secara terus kepada pemandu, sekali gus menamatkan amalan lama yang menyaksikan permit dimiliki individu tertentu sebelum disewakan kepada pemandu.

"Permit itu kekal di bawah nama pemandu teksi dan tidak dipindahkan kepada orang yang mempunyai wang.

"Ini keputusan dasar penting bagi menjaga kepentingan dalam kalangan pemandu," katanya.

Mengulas cabaran industri itu, Anwar mengakui pemandu teksi kini berdepan persaingan sengit daripada perkhidmatan e-hailing serta perubahan teknologi.

"Seiring perkembangan semasa, kementerian Pengangkutan diminta menyediakan latihan penggunaan aplikasi dan teknologi digital.

"Setiap pemandu teksi yang dapat Proton S70 ini mesti diberikan program latihan dan saya percaya pegawai-pegawai ini boleh turun bantu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan pemandu teksi sebagai duta pelancongan negara kerana menjadi antara individu pertama yang ditemui pelancong sebaik tiba di Malaysia.

Justeru itu, beliau menggesa semua pemandu terus mengekalkan sikap mesra, sopan serta membantu mempromosikan imej negara.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved