Kerajaan teliti cadangan semak semula subsidi petrol untuk T20 - Anwar

LocalPolitics
10 May 2026 • 4:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan teliti cadangan semak semula subsidi petrol untuk T20 - Anwar
Anwar ketika sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, cadangan berkenaan telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lepas, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.

"Memang cadangan itu telah dikaji sejak tiga minggu, sebulan yang lalu tapi belum pastikan sama ada T20 ke T15 ke supaya tidak membebankan yang menengah atas dan kemudian mudah untuk pelaksanaan,” katanya sambil menambah cadangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan semakan semula subsidi bagi golongan T20 serta pelan kesinambungan berkaitan subsidi minyak, yang dijangka diumumkan pertengahan bulan ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata Perdana Menteri dijangka mengumumkan pelan berkaitan kesinambungan bekalan minyak negara pada pertengahan bulan ini, susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.

Beliau berkata, pelan berkenaan dijangka memfokuskan kepada usaha memastikan bekalan minyak domestik kekal mencukupi bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi negara, selepas kerajaan sebelum ini memberikan jaminan bekalan semasa mampu bertahan hingga Jun. - Bernama