
KUALA LUMPUR - Kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi T20, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, cadangan berkenaan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Cadangan itu, katanya, telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lepas, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.
“Memang cadangan itu telah dikaji sejak tiga minggu, sebulan yang lalu tapi belum pastikan sama ada T20 ke T15 ke supaya tidak membebankan yang menengah atas dan kemudian mudah untuk pelaksanaan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama mahasiswa India di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan semakan semula subsidi bagi golongan T20 serta pelan kesinambungan berkaitan subsidi minyak, yang dijangka diumumkan pertengahan bulan ini.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata Perdana Menteri dijangka mengumumkan pelan berkaitan kesinambungan bekalan minyak negara pada pertengahan bulan ini, susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.
Menurut Akmal, pelan berkenaan dijangka memfokuskan kepada usaha memastikan bekalan minyak domestik kekal mencukupi bagi menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi negara, selepas kerajaan sebelum ini memberikan jaminan bekalan semasa mampu bertahan hingga Jun.
Pada Sabtu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Pemuda Umno akan membawa usul menarik balik subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebagai antara resolusi utama hasil Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0).
Akmal Saleh berkata, langkah rasionalisasi dan subsidi bersasar itu penting ketika negara berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat ketika ini. - 10 Mei, 2026
The post Cadangan kaji semula subsidi minyak bagi T20 dimuktamad dalam masa terdekat: Anwar appeared first on Scoop.




