hamden29/04/2026 - 17:13 KUALA LUMPUR 29 April - Kerajaan sedang mengkaji semula program subsidi RON95 dan diesel untuk 'diselaras semula', kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Tanpa mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan sedang meneliti mekanisme subsidi yang lebih bersasar bagi program subsidi diesel di Malaysia Timur, di mana penduduk tempatan masih menikmati harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter.
“Apa yang sedang dibincangkan adalah mekanisme yang lebih bersasar, seperti Budi 95. Ini masih dalam kajian dan akan dilaksanakan oleh MOF,” katanya pada sidang akhbar mingguan hari ini lapor The Edge.
Fahmi turut memberi jaminan bekalan bahan api bagi bulan-bulan akan datang, khususnya Mei dan Jun, kekal mencukupi tanpa sebarang kebimbangan segera, termasuk bagi Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
MOF pada pertengahan April memaklumkan subsidi bahan api telah menelan belanja kira-kira RM7 bilion sebulan, meningkat sepuluh kali ganda daripada sekitar RM700 juta sebulan sebelum perang Amerika Syarikat-Iran mengganggu laluan Selat Hormuz.
Daripada jumlah RM7 bilion itu, bil subsidi bulanan bagi RON95 meningkat daripada RM300 juta sebelum konflik di Timur Tengah kepada RM4 bilion ketika ini.
Subsidi diesel, termasuk untuk petani dan nelayan serta sektor logistik bagi memastikan harga makanan asas kekal rendah, turut meningkat daripada RM400 juta sebulan kepada RM3 bilion sebulan.
Sementara itu ditanya sama ada kerajaan akan mengadakan pembentangan semula belanjawan tahun ini, beliau berkata kerajaan tidak bercadang untuk membentangkan semula belanjawan tahun ini di Parlimen. - DagangNews.com






