Kerajaan terbuka untuk meneliti cadangan membenarkan pelarian politik Rohingya bekerja di Malaysia sebagai salah satu langkah mengurangkan risiko kegiatan jenayah dalam kalangan golongan tersebut.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, cadangan itu bagaimanapun memerlukan kajian menyeluruh dan akan dibincangkan bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
BERNAMA Beliau berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk isu keselamatan negara dan dasar sedia ada kerajaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Ini satu pendapat yang boleh membawa kebaikan ataupun perlu ada kajian secara mendalam.
“Saya percaya perkara ini akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Dalam Negeri. Sebarang perkembangan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.
“Terima kasih di atas satu cadangan yang mempunyai asas untuk kita melakukan kajian.”
Khairul berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kebenaran bekerja kepada pelarian Rohingya.
Menurut Hassan, langkah itu bukan sahaja dapat membantu mereka memperoleh sumber pendapatan, malah berpotensi mengurangkan penglibatan golongan muda Rohingya dalam kegiatan jenayah.
“Saya mencadangkan Kementerian Sumber Manusia mengemukakan perkara ini kepada Kabinet supaya pelarian Rohingya ini dibenarkan bekerja, sama ada lelaki atau perempuan, supaya mereka dapat pendapatan.
“Jadi anak-anak muda mereka tidak perlulah terlibat dalam jenayah. Kita boleh mengambil contoh Jerman yang membenarkan pelarian Syria bekerja ketika krisis perang di negara itu.”
Terdahulu, Persatuan Majikan Malaysia memaklumkan kesediaannya untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya sekiranya kerajaan memberi kebenaran.
Difahamkan, peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan adalah dalam sektor 3D iaitu pekerjaan yang kotor, berbahaya dan sukar. – MG
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

PMX Cakna, Caruman LINDUNG 24/7 PERKESO Bukan Lagi Mandatori, Berkuat Kuasa Serta-Merta
The post Kerajaan Terbuka Cadangan Benarkan Pelarian Rohingya Bekerja Di Malaysia first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






