Kerajaan Terbuka Kaji Keperluan Gabung SST & GST Untuk Sistem Cukai Lebih Progresif – Anwar

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 3:50 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Kerajaan Terbuka Kaji Keperluan Gabung SST & GST Untuk Sistem Cukai Lebih Progresif – Anwar

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bila sebut sahaja tentang cukai, antara yang paling sinonim dan sering didengar dalam kalangan pengguna adalah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Kerajaan Terbuka Kaji Keperluan Gabung SST & GST, Tambah Baik Sistem Percukaian

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan SST dan GST.

Ia bertujuan bagi menambah baik sistem percukaian negara agar menjadi lebih progresif.

Namun jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan perlu mengambil kira kelebihan kedua-dua cukai tersebut dan membuat penyesuaian mengikut keadaan semasa.

“Mengenai SST dan GST, seperti yang saya sebut tadi, kita terbuka untuk mengkaji, perbaiki sistem percukaian.

“Tetapi kalau bercakap soal GST sahaja, saya punya kebimbangan seperti yang saya lahirkan berulang kali, ini cukai (kepada) rakyat.

“Maknanya orang yang tak pernah bayar cukai, mesti bayar. Mana kita nak jawab dalam keadaan sekarang? Dengan kos sara hidup, beban rakyat.

“Sebab itu kita guna pangkal SST, tetapi kalau ada beberapa penyesuaian, boleh kita lakukan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Asas Percukaian Negara Masih SST, Tak Tolak Terima GST Jika Sesuai

Tambah Anwar, asas sistem percukaian negara pada masa ini masih lagi berteraskan SST.

Namun jelasnya, dia tidak menolak untuk menerima ciri GST jika terdapat elemen yang dirasakan sesuai serta boleh memperbaiki sistem percukaian negara.

Pun begitu tegas Anwar, sebarang pelaksanaan sistem percukaian tidak boleh dikenakan kepada rakyat secara menyeluruh.

“Saya sudah sebut tadi, pangkalnya masih SST. Tetapi kalau ada beberapa ciri yang boleh kita terima, kita terima.

“Tetapi saya tidak mahu bertolak ansur satu hal. Saya tidak mahu cukai ke atas rakyat secara menyeluruh, seperti mana pangkal pandangan dalam GST.

“GST itu broad-based tax, kita cukai semua rakyat. Saya tidak setuju,” tegasnya.

Anwar berkata demikian dalam Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 hari ini (18 Ogos) yang diadakan di Kementerian Kewangan.

Bank Dunia Pernah Saran Malaysia Kembalikan GST

Sebelum ini, cadangan mengembalikan GST ke Malaysia pernah disarankan oleh Bank Dunia pada Februari 2025.

Berdasarkan Laporan Mengurangkan Ketidaksamaan dan Memperkukuh Mobiliti di Malaysia, Bank Dunia menjekaskan langkah tersebut adalah penting untuk meningkatkan kecekapan sistem percukaian negara serta mengurangkan ketidaksamaan ekonomi rakyat.

Namun, Anwar pada Jun tahun sama pernah menyatakan bahawa kerajaan belum bersedia untuk melaksanakan GST.

Ini kerana ia akan memberi kesan kepada masyarakat khususnya golongan miskin dan enggan membebankan rakyat yang masih berhadapan dengan tekanan kos sara hidup.

Untuk info, sistem percukaian GST mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 di bawah pentabiran bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak dengan kadar 6% bagi menggantikan SST.

Namun, cukai itu dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan semula dengan SST ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH 1.0) mengambil alih pentadbiran negara.

Baca Artikel Berkaitan: Kembalikan GST Untuk Kukuhkan Asas Percukaian Negara, Nak Panggil ‘Madani Tax’ Pun Boleh – KJ

Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Kekalkan Cukai SST, Belum Sedia Laksanakan GST Kerana Pendapatan Rakyat Rendah – Lim Hui Ying

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved