Kerajaan terbuka pertimbang penubuhan RCI terhadap KWSP, KWAP jika ada bukti kukuh - Azalina

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 11:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan terbuka pertimbang penubuhan RCI terhadap KWSP, KWAP jika ada bukti kukuh - Azalina Image from: Kerajaan terbuka pertimbang penubuhan RCI terhadap KWSP, KWAP jika ada bukti kukuh - Azalina sarah21/10/2026 - 11:25 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt - Kerajaan bersedia mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sekiranya terdapat maklumat atau bukti kukuh yang menunjukkan keperluan untuk menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertimbangan itu termasuk isu berkaitan tadbir urus, pengurusan pelaburan serta keputusan kewangan institusi yang mengurus dana rakyat.

 

“Kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkannya sekiranya terdapat maklumat, bukti atau dapatan yang kukuh yang menunjukkan wujud keperluan untuk suatu siasatan awam yang bersifat menyeluruh dan bebas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

 

 

 

 

 

 

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin mengetahui kriteria kerajaan dalam menentukan keperluan penubuhan RCI terhadap institusi pengurusan dana rakyat, selain kesediaan kerajaan mempertimbangkan siasatan terhadap KWSP dan KWAP.

 

Azalina berkata, kerajaan akan memastikan sebarang isu berkaitan pengurusan dana awam, termasuk aspek tadbir urus dan keputusan pelaburan, diteliti berdasarkan fakta serta bukti melalui mekanisme pengawasan yang sewajarnya.

 

“Sekiranya hasil penelitian mendapati terdapat keperluan dan kepentingan awam yang jelas untuk suatu siasatan khas, cadangan penubuhan RCI boleh dipertimbangkan sewajarnya,” katanya.

 

Mengulas prosedur penubuhan RCI, beliau berkata, proses itu tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), dengan cadangan perlu dikemukakan melalui Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju untuk pertimbangan dan kelulusan Kabinet.

 

Menurutnya, selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, Perdana Menteri akan menyembah maklum cadangan berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan sebelum terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan ditetapkan serta diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.

 

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata, dalam menentukan keperluan penubuhan RCI, kerajaan mengambil kira beberapa faktor utama termasuk kepentingan awam, keseriusan isu, fakta dan bukti yang tersedia serta keperluan kepada siasatan bebas dan menyeluruh, sama ada membabitkan institusi pengurusan dana awam atau institusi lain.

 

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu tidak menyatakan sebarang keputusan untuk menubuhkan RCI terhadap KWSP atau KWAP, sebaliknya menegaskan bahawa pertimbangan hanya akan dibuat sekiranya terdapat asas dan bukti yang mencukupi.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved