
KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekiranya terdapat bukti kukuh yang memerlukan siasatan awam secara menyeluruh dan bebas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang cadangan penubuhan RCI perlu berasaskan maklumat, bukti atau dapatan yang menunjukkan keperluan untuk siasatan sedemikian.
“Bagi menjawab persoalan berhubungan dengan cadangan penubuhan RCI terhadap KWAP dan KWSP, kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkannya sekiranya terdapat maklumat, bukti atau dapatan yang kukuh yang menunjukkan wujud keperluan untuk suatu siasatan awam yang bersifat menyeluruh dan bebas.
“Kerajaan akan terus memastikan sebarang isu berkaitan pengurusan dana awam, termasuk aspek tadbir urus dan keputusan pelaburan, diteliti berdasarkan fakta dan bukti serta melalui mekanisme pengawasan yang sewajarnya.
“Sekiranya hasil penelitian mendapati terdapat keperluan dan kepentingan awam yang jelas untuk suatu siasatan khas, cadangan penubuhan RCI boleh dipertimbangkan sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta kerajaan menjelaskan kriteria penentuan keperluan penubuhan RCI terhadap institusi yang menguruskan dana rakyat, serta kesediaan kerajaan mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat KWAP dan KWSP berhubung tadbir urus, pengurusan pelaburan atau keputusan kewangan yang boleh dipersoalkan.
Tambah Azalina, penubuhan RCI di Malaysia tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) serta prosedur yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa, cadangan penubuhan RCI hendaklah dikemukakan oleh kementerian peneraju menerusi Memorandum Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.
“Setelah dipersetujui, Perdana Menteri akan menyembah maklum cadangan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
“Sekiranya diperkenankan, penubuhan RCI akan melibatkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan, yang kemudiannya dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum RCI memulakan fungsinya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan mengambil kira kepentingan awam, keseriusan isu, fakta dan bukti yang tersedia serta keperluan melaksanakan siasatan bebas dan menyeluruh dalam menentukan keperluan penubuhan RCI, sama ada membabitkan institusi pengurusan dana awam atau institusi lain.
Azalina berkata, kerajaan akan terus memastikan sebarang isu berkaitan pengurusan dana awam, termasuk aspek tadbir urus dan keputusan pelaburan, diteliti berdasarkan fakta dan bukti melalui mekanisme pengawasan yang sewajarnya.
Katanya, sekiranya hasil penelitian mendapati terdapat keperluan dan kepentingan awam yang jelas untuk suatu siasatan khas, cadangan penubuhan RCI boleh dipertimbangkan sewajarnya. –UTUSAN
The post Pertimbang tubuh RCI siasat KWAP, KWSP appeared first on Utusan Malaysia.





