Kerajaan Terengganu rancang 'food bank' gajah, pagar khas elak kemalangan di LPT2

LocalEnvironment
6 Aug 2026 • 11:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan Terengganu rancang 'food bank' gajah, pagar khas elak kemalangan di LPT2 Image from: Kerajaan Terengganu rancang 'food bank' gajah, pagar khas elak kemalangan di LPT2 liza06/08/2026 - 11:17 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kerajaan Terengganu akan mewujudkan zon makanan khas (food bank) untuk gajah liar sebagai langkah jangka panjang bagi mengurangkan konflik antara manusia dan haiwan itu susulan kemalangan melibatkan gajah di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Cheneh, Kemaman.

 

Kaedah itu telah lama dilaksanakan oleh banyak syarikat perladangan dan terbukti berjaya mengurangkan kesan konflik hidupan liar dan manusia serta mengurangkan kerugian akibat pencerobohan di kawasan ladang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan menerusi penanaman rumput Napier serta spesies tumbuhan makanan lain di laluan habitat gajah.

 

Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja dapat memastikan sumber makanan mencukupi di habitat semula jadi gajah, malah membantu meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memelihara ekosistem semulajadi.

 

Baru-baru ini, sepasang suami isteri cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna Toyota Estima dinaiki mereka gagal mengelak lalu merempuh sekumpulan gajah liar yang berada di tengah lebuh raya pada pukul 10.20 malam.

 

Kumpulan gajah itu dipercayai berasal dari Hutan Simpan Bukit Bandi di Kemaman yang terletak kira-kira lapan kilometer dari lokasi kemalangan.

 

Susulan kemalangan itu, Razali telah mengadakan perbincangan segera bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu bagi mendapatkan laporan terkini serta tindakan yang sedang dilaksanakan di lokasi kejadian.

 

Pagar khas antara langkah jangka pendek

Selain penyelesaian jangka panjang, Perhilitan juga akan mengadakan perbincangan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak pengurusan LPT2 berhubung cadangan pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah Bersepadu (SPEGKOM) di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan gajah.

 

Pemasangan pagar khas itu dijangka dapat menghalang gajah daripada memasuki kawasan lebuh raya sekali gus mengurangkan risiko kemalangan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

 

Pada masa sama, Perhilitan telah mengambil beberapa tindakan segera termasuk melaksanakan kawalan dan pemantauan secara berterusan di kawasan aduan serta menggunakan dron bagi mengesan dan memantau pergerakan gajah.

 

Pengguna jalan raya diminta berwaspada

Beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya, supaya sentiasa berwaspada sekiranya terserempak dengan gajah di laluan berkenaan.

 

Katanya, pengguna dinasihatkan supaya tidak panik, tidak menghampiri atau mengganggu haiwan itu, serta mengelakkan daripada membaling objek yang boleh mencetuskan tindak balas agresif.

 

Selain itu, pengguna juga diminta tidak membunyikan hon serta mengelakkan penggunaan lampu tinggi atau lampu berkelip ke arah gajah kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan haiwan itu terkejut atau bertindak di luar jangkaan.

 

Beliau berkata, pengguna jalan raya perlu memberi laluan sekiranya gajah sedang melintas dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak.

 

“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan setiap langkah mitigasi dilaksanakan secara bersepadu bersama Perhilitan serta agensi berkaitan bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar, di samping menjamin keselamatan pengguna jalan raya di Terengganu,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved