Kerajaan digesa elak kenakan cukai khas EV, guna penjimatan subsidi petrol bina infrastruktur pengecas

LocalCars
6 Aug 2026 • 12:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan digesa elak kenakan cukai khas EV, guna penjimatan subsidi petrol bina infrastruktur pengecas Image from: Kerajaan digesa elak kenakan cukai khas EV, guna penjimatan subsidi petrol bina infrastruktur pengecas liza06/08/2026 - 12:26 Kebanyakan negara yang berjaya meningkatkan penggunaan EV menawarkan pelbagai insentif bagi mengurangkan kos pemilikan, bukannya mengenakan cukai tambahan - Gambar DagangNews/Kamaliza Kamaruddin Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Cadangan untuk mengenakan cukai khas ke atas pembelian kenderaan elektrik (EV) bagi membiayai pembangunan infrastruktur pengecasan disifatkan sebagai langkah yang boleh menjejaskan agenda mobiliti hijau negara, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

 

Beliau berkata, sekiranya cadangan itu benar sedang dipertimbangkan kerajaan, ia bercanggah dengan usaha negara untuk mempercepatkan peralihan kepada penggunaan EV, mengurangkan pelepasan karbon serta mengurangkan beban subsidi bahan api dalam jangka panjang.

 

Menurut beliau, dasar sedemikian akan menyebabkan kos pemilikan EV meningkat sekali gus mengurangkan minat pengguna untuk beralih kepada teknologi yang lebih mesra alam.

 

EV bantu kurangkan beban subsidi kerajaan

Ahmad Amzad berkata, setiap pengguna yang beralih daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV sebenarnya membantu mengurangkan komitmen kerajaan terhadap subsidi petrol.

 

Beliau menganggarkan, berdasarkan had subsidi semasa, kerajaan berpotensi menjimatkan kira-kira RM6,500 setahun bagi setiap pengguna EV.

 

“Jika terdapat 10,000 EV baharu di jalan raya, kerajaan berpotensi menjimatkan sekitar RM65 juta setahun, manakala 30,000 EV boleh menjimatkan kira-kira RM195 juta dan 60,000 EV pula sekitar RM390 juta setahun.

 

"Dalam tempoh sedekad, jumlah penjimatan ini boleh mencecah berbilion ringgit. Hakikatnya, setiap EV bukanlah satu beban kepada kerajaan, bahkan merupakan aset fiskal yang membantu mengurangkan liabiliti subsidi petrol negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

t
Ahmad Amzad

 

Cukai baharu boleh perlahankan penggunaan EV

Beliau berkata, kebanyakan negara yang berjaya meningkatkan penggunaan EV menawarkan pelbagai insentif bagi mengurangkan kos pemilikan, bukannya mengenakan cukai tambahan.

 

Menurutnya, cukai baharu akan menaikkan harga EV, mengurangkan permintaan pengguna dan memperlahankan kadar peralihan kepada mobiliti hijau.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pertimbang caj khas setiap jualan EV untuk dana bina pengecas awam - Johari

 

“Keadaan itu turut memberi kesan kepada pelaburan swasta kerana syarikat akan kurang berminat membangunkan rangkaian pengecas sekiranya pertumbuhan pengguna EV menjadi lebih perlahan.

 

“Situasi tersebut boleh mewujudkan kitaran negatif apabila harga EV meningkat, bilangan pengguna berkurangan, penggunaan stesen pengecas menjadi rendah, pelaburan swasta merosot dan akhirnya pembangunan infrastruktur pengecasan turut menjadi perlahan,” katanya.

 

Cadang guna penjimatan subsidi untuk bina infrastruktur

Sehubungan itu, Ahmad Amzad mencadangkan kerajaan menggunakan pendekatan lain bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan tanpa membebankan pembeli EV.

 

Antara cadangan beliau ialah menggunakan sebahagian penjimatan subsidi petrol sebagai dana pembangunan infrastruktur EV, selain menawarkan geran padanan atau insentif kepada syarikat swasta yang membina stesen pengecas di kawasan yang masih kurang liputan.

 

Beliau turut mencadangkan kerajaan menawarkan potongan cukai kepada pelabur infrastruktur pengecasan serta menerbitkan Green Bond atau Sukuk Hijau khusus bagi membiayai pembangunan infrastruktur mobiliti hijau.

 

Selain itu, beliau berkata, pengeluar EV juga perlu memainkan peranan lebih besar dengan melabur dalam pembinaan rangkaian pengecas, menjalinkan usaha sama dengan syarikat tempatan serta membangunkan pusat servis, latihan tenaga mahir dan rantaian bekalan tempatan.

 

Menurutnya, pendekatan itu lebih produktif berbanding memperkenalkan cukai baharu yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna.

 

Beliau turut menggesa kerajaan memastikan dasar berkaitan EV kekal stabil, konsisten dan mesra pelaburan bagi meningkatkan keyakinan pengguna serta pelabur, sekali gus membantu negara mencapai sasaran memperluaskan penggunaan EV dan pembangunan puluhan ribu titik pengecas menjelang 2030.

 

“Peralihan kepada EV bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi baharu, malah merupakan strategi fiskal, tenaga dan alam sekitar negara yang perlu disokong melalui dasar yang menggalakkan rakyat beralih kepada kenderaan elektrik, bukannya meningkatkan kos pemilikannya, jelas Ahmad Amzad. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved