Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON95 buat masa ini, meskipun wujud cadangan untuk berbuat demikian.
Menurut Anwar, isu subsidi bahan api itu sedang dikaji semula. Namun, sebarang keputusan akan mengambil kira kepentingan majoriti rakyat, bukannya golongan berada atau warga asing yang menikmati subsidi secara tidak adil.
“Saya sedang fikirkan isu subsidi petrol RON95, ada yang minta harganya dinaikkan untuk rakyat. Namun, saya tak setuju. Harga petrol RON95 boleh diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Subsidi untuk warga asing akan disemak
Perdana Menteri turut mempersoalkan keadilan apabila sejumlah besar subsidi petrol dinikmati oleh warga asing yang tinggal di negara ini.
“Namun harga petrol untuk empat juta orang rakyat asing di negara ini yang perlu dinaikkan. Orang asing nikmati RM3 hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” katanya lagi.
Ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, Anwar menyatakan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol pertengahan tahun ini. Langkah itu dijangka menjimatkan sehingga RM8 bilion hasil pengurangan ketirisan kepada golongan yang tidak layak, termasuk warga asing dan golongan maha kaya.
Fokus subsidi untuk rakyat
Menurut beliau, penjimatan tersebut akan disalurkan semula kepada sektor-sektor penting negara seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam demi manfaat rakyat terbanyak.
“Mana ada negara yang beri subsidi petrol pada yang ada Roll Royce, terutama lima peratus golongan yang maha kaya negara ini. Namun golongan lima peratus ini suruh kita pertahankan mereka supaya dapat terus nikmati subsidi petrol,” tegasnya.
The post ‘Kerajaan tidak akan naikkan harga petrol RON95,’ Anwar appeared first on The Reporter.


