Kerajaan tidak sokong judi, tetapi kurangkan cabutan 

LocalPolitics
29 Aug 2026 • 12:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan tidak sokong judi, tetapi kurangkan cabutan 

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Pusat tidak pernah menyokong kegiatan perjudian sebaliknya mengambil langkah mengurangkan jumlah cabutan nombor ramalan daripada 22 kepada hanya lapan kali setahun sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan kerajaan terdahulu yang membenarkan sehingga 22 cabutan judi setahun.

“Orang kata, oh, Anwar ini tauke judi. Saya tidak sokong orang judi. Dahulu judi, sebelum saya jadi Perdana Menteri, masa kerajaan dulu perintah, kena faham ini kerajaan dulu, semua parti dululah. Berapa cabutan setahun? 22 kali.

“Saya perintah, saya turunkan daripada 22 jadi lapan kali. Kamu nak maki aku pasal apa? Masa kamu perintah dulu 22 kali. Masa saya perintah, saya turunkan lapan kali,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Skim Usahawan Bangkit (Sub) Madani di Yayasan Aman di sini hari ini.

Untuk rekod, jumlah cabutan khas judi nombor ramalan di Malaysia ditetapkan sebanyak lapan kali setahun di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan di mana bermula 1 Januari 2023 berbanding 22 kali sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor membangkitkan isu tanggungjawab untuk meluluskan atau tidak lesen perjudian di Kedah selepas ini terletak kepada Kementerian Kewangan selepas pihaknya gagal menghalang pengeluaran lesen premis untuk perniagaan itu. 

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan terus memperkukuh pelbagai program keusahawanan sebagai usaha membantu rakyat menjana pendapatan sendiri dan mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan tunai.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif termasuk program SUB Madani, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disediakan bagi membantu golongan memerlukan.

Menurut beliau, bantuan berbentuk modal dan peluang menjana pendapatan adalah penting supaya rakyat dapat membina kehidupan yang lebih baik secara berdikari.

“Program Sub Madani itu untuk menampung pelbagai program lain. Cuba bayangkan, Amanah kita belanja RM1 juta, TEKUN RM1 juta, pelbagai skim pinjaman kita bagi, kemudian Sumbangan Tunai Rahmah (STR), semua dapat STR, tunai rahmah.

“Saya tambah lagi Sumbangan Asas Rahmah. Sara itu walaupun sekali bagi RM1 juta untuk beli benda asas, sekali bagi itu RM2 bilion mungkin, kerana yang dapat itu puluhan juta orang. Tapi kadang-kadang, yang lebih penting ialah bagi dia modal, bagi dia berniaga, jalan hidup sendiri supaya tidak bergantung lagi,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan memberi sokongan kepada program pembangunan usahawan kecil supaya mereka yang berdepan kegagalan atau tidak mempunyai keupayaan sebelum ini dapat kembali bangkit.

“Itu saya ingat tujuan kita untuk usahawan kecil-kecilan. Sebab itu saya memberi sokongan rancangan usahawan ini supaya dia boleh bangkit, sama ada dia jatuh, bangkit semula, ataupun daripada tidak ada upaya, bangkit. Ini peranan kita sebenarnya,” katanya. – UTUSAN

The post Kerajaan tidak sokong judi, tetapi kurangkan cabutan  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved