‘Kerajaan titik berat kebajikan warga emas’

30 Oct 2023 • 5:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan amat menitikberatkan kebajikan warga emas dan mahu memastikan golongan itu terus produktif, berdaya saing dan sejahtera, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib.Melihat keperluan itu, katanya, kementerian itu melalui Jabatan Kebajikan Am Sabah telah menyediakan banyak kemudahan untuk warga emas seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe).

“Ia adalah satu perkhidmatan bagi mendekati dan pembangunan untuk warga tua. Program ini didorong oleh penglibatan masyarakat setempat dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan.

“Dengan adanya program seperti ini, ia dapat memberi ruang dan peluang kepada warga emas yang masih aktif dan produktif untuk terus berada dalam masyarakat dan mereka dapat terus menyumbang pengalaman dan pengetahuan,” katanya. James yang juga Adun Sugut berkata, menurut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 2022, kira-kira 11.1 peratus atau 3.6 juta rakyat Malaysia adalah warga emas dan menjelang 2030 kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia akan berusia lebih 60 tahun.

“Justeru jumlah ini adalah satu angka yang perlu diambil kira supaya semua pihak dapat membuat persediaan menghadapi penduduk yang semakin tua pada masa hadapan,” katanya.

James berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Pusat Kegiatan Warga Emas sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri 2023 yang diadakan di Dewan Wisma Wanita, di sini, baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri KPMKR, Datuk Flovia Ng.

Sementara itu, tambahnya, sehingga hari ini sebanyak 21 Pawe ditubuhkan di Sabah, dan Pawe Tuaran merupakan pusat seumpama itu yang baru ditubuhkan pada 2023.

Menurut James, jumlah ahli berdaftar Pawe Sabah yang menikmati perkhidmatan dan aktiviti di pusat ini sehingga September 2023 adalah 5,980.

“Ada juga cadangan untuk menubuhkan Pawe baharu di Kinabatangan dan Pulau Jambongan. Saya harap lebih banyak penubuhan Pawe di seluruh Sabah.

“Penubuhan Pawe adalah sangat penting dan bukan hanya terhad kepada satu Parlimen dan satu Pawe sahaja,” katanya.

Selain itu, tambah James, Jabatan Khidmat Kebajikan Am Sabah telah menyediakan tiga rumah perlindungan dan rumah jagaan warga emas yang tiada waris iaitu Rumah Warga Emas Sri Pritchard, Rumah Warga Emas Sandakan dan Rumah Warga Emas Tawau.

“Rumah Warga Emas ini menjaga dan melindungi seramai 240 warga emas dengan bajet operasi kira-kira RM1.6 juta setahun,” katanya.

Tambahnya, di bawah skim bantuan Persekutuan, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah turut menyediakan Bantuan Warga Emas (BWE) kepada warga emas berjumlah RM500 sebulan.

“Sehingga Ogos 2023, Sabah telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM113,598,500 kepada seramai 28,715 penerima bantuan warga emas.

“Tujuan bantuan ini adalah untuk memberi sara hidup kepada warga emas yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan bermasyarakat,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.