Kerajaan turunkan caj akses grid tenaga hijau sehingga 40%, galakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui

LocalEnvironment
2 Sep 2025 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan turunkan caj akses grid tenaga hijau sehingga 40%, galakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui

image is not available

02/09/2025 - 15:00

Gambar/Unsplash.com Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) telah menurunkan caj akses grid bagi pembelian dan penjualan tenaga boleh diperbaharui sehingga 40%.

Ia dilaksanakan di bawah dua program utama iaitu Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM).

Menerusi CRESS, syarikat dan industri dibenarkan membeli tenaga boleh diperbaharui terus daripada pengeluar tenaga (seperti ladang solar atau angin) dengan menggunakan grid nasional.

Sementara itu, program CREAM pula membolehkan tenaga solar berskala kecil (contohnya panel solar di bumbung rumah) menjual lebihan tenaga kepada pengguna lain menerusi grid.

Petra berkata, penurunan caj ini dibuat selepas mengambil kira jadual tarif terkini berkuat kuasa 1 Julai lalu, bagi memastikan kadar yang lebih adil tanpa pengiraan berganda.

Kementerian itu berkata, caj akses sistem (SAC) baharu di bawah CRESS adalah daripada 45 sen kepada 40 sen/kWh untuk bekalan solar & angin (bukan firm) dan daripada 25 sen kepada 20 sen/kWh untuk bekalan firm.

“Bagi caj akses komuniti (CAC) di bawah CREAM pula, kadar dikurangkan daripada 15 sen kepada 9 sen/kWh.

“Kadar SAC dan CAC yang disemak ini telah dikurangkan sehingga 40% berbanding kadar sebelumnya,” kata Petra dalam satu kenyataan.

Kadar baharu itu dijangka menarik lebih banyak pengguna korporat untuk mendapatkan bekalan elektrik hijau pada kos yang lebih kompetitif.

Petra berkata, kedua-dua program itu adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan mewujudkan opsyen bekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pengguna dengan memberi pilihan kepada syarikat korporat mendapat bekalan secara terus dari pengeluar tenaga.

“Langkah ini juga bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai 70% tenaga boleh diperbaharui dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050,” katanya. - DagangNews.com

featured standard