Terengganu berpotensi jana 4GW tenaga hijau menjelang 2030 - Ahmad Samsuri

LocalEnvironment
14 Aug 2025 • 1:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu berpotensi jana 4GW tenaga hijau menjelang 2030 - Ahmad Samsuri

image is not available

14/08/2025 - 13:10

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kanan) merasmikan Dasar dan Pelan di bawah Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu / Gambar Pejabat MB Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 14 Ogos – Terengganu berpotensi untuk menjana 4 Gigawatt (GW) tenaga hijau menjelang 2030 yang akan menyumbang kira-kira 20% daripada kapasiti penjanaan tenaga hijau negara.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Pelancaran Dasar dan Pelan di bawah Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu (TNEXT) di Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, jumlah itu akan menjadikan Terengganu sebagai antara penyumbang terbesar kepada sasaran sifar bersih pelepasan gas rumah hijau Malaysia pada 2050.

“Ketika ini, beberapa projek utama termasuk Projek Loji Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) Tasik Kenyir, loji hidrogen Petronas dan Taman Perindustrian Kemaman bagi industri hiliran CCUS (teknologi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon) serta projek perintis kincir angin di Kemaman sedang dilaksanakan.

“Selain itu, Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030) turut memanfaatkan aset negeri seperti jaringan sungai, empangan dan potensi radiasi solar bagi menjana elektrik hijau premium yang akan menjadikan Terengganu sebagai penyumbang tenaga hijau utama negara,” katanya.

Pada majlis itu, Terengganu melancarkan secara serentak tiga dokumen dasar penting negeri iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023–2030, PITIH 2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu (RTEDT).

Ahmad Samsuri berkata, ia membuktikan kesungguhan Terengganu untuk kekal sebagai negeri mesra pelabur, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan berteraskan pelaburan strategik, kelestarian dan ekonomi digital.

“Dalam dunia pasca-pandemik dan ketidaktentuan geoekonomi global, strategi pembangunan tidak boleh lagi bersifat ‘B.A.U. atau business as usual’.

“Terengganu tidak boleh berada di tepi arus. Kita mesti berada di tengah gelombang transformasi, bukan sebagai pemerhati, tetapi sebagai pemain utama.

“Justeru, dasar-dasar yang kita lancarkanini adalah dokumen strategik yang saling melengkapi, saling mengukuh, dan yang paling penting, berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bercirikan kesan limpahan yang lebih besar buat mereka,” katanya.

Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu menjadi dokumen strategik bagi memacu pelaburan berkualiti dalam enam kluster utama iaitu minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik dan pengangkutan, bioteknologi serta teknologi bangunan.

Dasar itu dirangka dengan enam teras pelaksanaan dan 22 strategi yang merangkumi penambahbaikan infrastruktur, penyediaan insentif pelaburan, pengurusan tanah mesra pelabur dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

PITIH 2030 pula memberi fokus kepada usaha memperkasakan teknologi hijau, khususnya tenaga boleh baharu sebagai sumber ekonomi baharu negeri.

Selain itu, RTEDT pula bertujuan membangunkan ekosistem digital yang menyeluruh melalui lima teras utama digital iaitu Kerajaan, infrastruktur, komuniti dan bakat, industri serta keusahawanan yang akan membuka peluang ekonomi baharu, menarik pelaburan teknologi serta memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri pelopor ekonomi digital yang mampan dan progresif.

Ahmad Samsuri turut mengingatkan kejayaan pelaksanaan dasar dan pelan tersebut memerlukan sokongan padu penjawat awam, pelabur, industri serta rakyat. - DagangNews.com

featured standard