Kerajaan utamakan keselamatan rakyat Malaysia di Asia Barat

LocalPolitics
4 Mar 2026 • 5:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia di Asia Barat, yang sedang bergolak susulan perang Iran dengan Israel-Amerika Syarikat (AS), menjadi keutamaan kerajaan ketika ini, kata Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kementerian Luar akan mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan yang akan diambil susulan perkembangan situasi di Iran dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Wisma Putra dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, termasuk beberapa maklumat dan maklum balas terkini berkaitan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Asia Barat.

"Yang menjadi keutamaan untuk pihak kerajaan pada waktu ini adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terjamin sama ada mereka yang mungkin terkandas akibat ketiadaan penerbangan pulang ataupun yang bermastautin di negara-negara yang terkesan dengan apa yang sedang berlaku di Iran akibat serangan daripada rejim Zionis Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini.

Pada awal pagi 28 Februari lepas, Israel dan AS melancarkan serangan udara terhadap sasaran di Iran.

Teheran kemudian bertindak balas menyasarkan pangkalan tentera dan kemudahan logistik AS di beberapa negara Arab, menyebabkan sekatan ruang udara meluas di seluruh rantau itu. - Bernama