
Kemampuan majoriti model kecerdasan buatan (AI) kini melangkaui kemampuan kebanyakan manusia. Akses yang mudah mengakibatkan ramai mengambil jalan pintar menggunakan AI untuk melakukan tugas rumit. Ini adalah isu besar dalam dunia akademik kerana pelajar yang sepatutnya belajar kini menggunakan AI untuk melengkapkan tugasan dan menjawab soalan dalam peperiksaan atas talian.

Richard Borcherds, seorang pensyarah matematik di University of California, Berkeley (UC Berkeley) menyelesaikan isu penggunaan AI oleh pelajar dengan tidak lagi memberikan kerja rumah dan semua peperiksaan untuk menguji pemahaman mereka dilakukan secara berdepan. Beliau berkata adalah semakin sukar membezakan kerja rumah yang dihasilkan manusia dengan AI. Apabila peperiksaan atas talian dilakukan pula, ia dijawab menggunakan AI.
Peperiksaan secara luar talian dan berdepan dilihat ialah kayu pengukur sebenar kemampuan pelajar yang menghadiri kelas. Beliau menyedari markah purata dalam peperiksaan atas talian adalah lebih tinggi berbanding peperiksaan secara berdepan.
Borcherds bukan pensyarah pertama mengambil langkah drastik seperti ini bagi menentang penipuan dengan AI. Di Brown University Amerika Syarikat, Profesor Roberto Serrano mewajibkan peperiksaan diambil di luar talian pada Julai lalu. Akibatnya 18 daripada 86 pelajar terus berhenti mengambil kelas. Markah purata 48.6% yang adalah hampir separuh jauh lebih rendah berbanding purata sebelum ini.
University of Chicago Law School pula mengharamkan penggunaan telefon, tablet dan komputer dalam kelas oleh pelajar tahun pertama. Pelajar perlu mengambil nota dalam kuliah menggunakan pensel, pen dan kertas. Seorang sahaja pelajar akan dilantik untuk menulis nota kelas dalam bentuk digital semasa kuliah berjalan. Kesemua peperiksaan juga akan diduduki dalam kelas tanpa akses kepada internet, fail elektronik dan aplikasi.
Sumber – New York Post



