
KUALA TERENGGANU – Hidup serba kekurangan memaksa keluarga seorang pemotong rumput menyewa sebuah rumah uzur yang terletak di dalam kawasan perkuburan di Kampung Ladang Sahat, di sini sejak setahun lalu.
Mohd. Fami Abdul Rahman, 40, berkata, dia dan isterinya, Sarida Kasim, 40, serta dua anak tirinya berusia lapan dan 13 tahun menumpang teduh di rumah tersebut dengan sewa sebanyak RM200 sebulan.
“Ini sahaja yang termampu memandangkan pendapatan saya sebagai pemotong rumput tidak menentu. Syukur isteri dan anak-anak tidak kisah biarpun kami ‘berjirankan’ kubur,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Ladang Sahat, di sini, semalam.
Terdahulu, dia sekeluarga disantuni Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Ladang Sahat, Adnan Salleh yang menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada anak-anaknya.
Mohd. Fami berkata, dia mencuba nasib menjelajah di sekitar bandar raya ini dan daerah bersebelahan menawarkan perkhidmatan memotong rumput di rumah penduduk setiap hari.
Katanya, kadangkala dia tidak ada pendapatan ekoran ketiadaan pelanggan pada hari-hari tertentu. Jadi kami sekeluarga terpaksa berjimat cermat.
“Saya terpaksa tebalkan muka mohon bantuan persekolahan anak-anak agar mereka yang kini berada dalam darjah dua dan tingkatan satu,” katanya.
Mohd. Fami berkata, dia sekeluarga bersyukur kesukaran mereka mendapat perhatian JPKKP.
Dia berazam mencuba sebaiknya untuk menyara isteri yang dinikahi setahun lalu bersama dua anak tiri berbekalkan kemahiran memotong rumput.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Mohd. Fami bernombor 1110141000118597 (Bank Simpanan
Nasional) atau menghubunginya di talian 012-539 9837.
The post Kerana susah tak kisah ‘berjiran’ dengan kubur appeared first on Kosmo Digital.

