Kereta baharu satu kemewahan mampu dimiliki bagi kebanyakan rakyat Malaysia - Kenanga Research
herman
15/03/2024 - 16:17
KUALA LUMPUR 15 Mac - Kereta baharu masih satu kemewahan yang mampu dimiliki bagi kebanyakan isi rumah Malaysia walaupun dalam keadaan inflasi tinggi dan ekonomi global yang perlahan.
Kenanga Research berkata, ini didiorong keyakinan kukuh pengguna dan disokong ekonomi serta pasaran kerja yang stabil di negara ini.
"Walau bagaimanapun, kami mengakui bahawa rasionalisasi subsidi bahan api yang akan berlaku mungkin menjejaskan permintaan untuk model pasaran pertengahan.
"Kami kekal optimistik terhadap jualan kenderaan dalam segmen mampu milik kerana pembeli iaitu kumpulan B40 yang merupakan pasaran sasaran utamanya akan terhindar kesan rasionalisasi subsidi.
"Mereka juga berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Kenanga Research, keterjangkauan untuk memiliki kenderaan bermotor turut disokong oleh harga kereta baharu yang stabil.
Katanya, ini berikutan penangguhan peraturan duti eksais baharu (yang boleh mengakibatkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat sebanyak 8%−20%).
"Kos sewa beli juga berpotensi lebih murah dengan pengenalan kaedah baki mengurangkan dalam pengiraan caj faedah, dan faktor seterusnya ialah model baharu yang menarik," jelasnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'Neutral' kepada sektor automotif dengan pilihan utama ialah MBM Resources Berhad.
Katanya, ini berikutan pendapatan MBM Resources yang diunjur kukuh disokong oleh pesanan tertunggak kenderaan Perodua sebanyak 120,000 unit iaitu hampir separuh daripada sasaran jualan 2024 sebanyak 340,000 unit.
MBM Resources menjadi proksi yang baik kepada jenama Perodua serta memiliki 23% pegangan dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd di samping memberikan hasil dividen yang menarik kira-kira 9%," jelasnya.
Kenanga Research juga mengekalkan unjuran TIV tahun 2024 pada 710,000 unit. - DagangNews.com



![Terlalu Seronok Pergi Sekolah, Murid Darjah 1 Sampai Menangis Tak Nak Balik Rumah [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)
