
Pihak berkuasa Bangkok mengisytiharkan bencana banjir di seluruh ibu negara Thailand pada Sabtu selepas hujan lebat hampir 48 jam menyebabkan terusan dipenuhi air, jalan raya ditenggelami banjir dan penduduk terpaksa meredah air yang dalam.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt menggesa orang ramai supaya kekal berada di rumah selepas hampir 300 milimeter (mm) hujan direkodkan.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pula berkata beliau memendekkan lawatannya ke London untuk pulang ke negara itu.
“Air terus masuk. Sekarang susah untuk keluar. Paras air sudah sampai ke pinggang saya.
“Saya tidak boleh pergi ke mana-mana. Saya sudah menutup kedai selama dua hari,” kata Somkid Pheuk-ngam, 67, seorang peniaga yang tinggal berhampiran sebuah terusan di utara pusat Bangkok.

Chadchart pada petang Sabtu berkata keadaan telah stabil dan situasi dijangka beransur pulih sekiranya tiada lagi hujan turun di kawasan berkenaan.
“Jika hujan berhenti, dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari untuk mengalirkan air banjir,” katanya dalam perkembangan terkini yang disiarkan menerusi media sosial.
Hujan yang turun hampir tanpa henti sejak petang Khamis menyebabkan rangkaian terusan di Bangkok melimpah, sekali gus mengakibatkan air keruh memasuki rumah, restoran, kedai dan lorong di kawasan sekitar.
Chadchart berkata sekurang-kurangnya 13 jalan turut dinaiki air, manakala wartawan AFP melihat penduduk di beberapa kawasan kejiranan terpaksa meredah air yang tinggi.

Bencana banjir Bangkok
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengisytiharkan bencana di kesemua 50 daerah di bandar itu, langkah yang memberikan kuasa khas kepada organisasi tempatan untuk mengambil tindakan.
Bagaimanapun, Chadchart menggesa penduduk supaya tidak bimbang mengenai kemungkinan berlaku kekurangan bekalan makanan akibat jalan yang terhalang.
“Orang ramai tidak perlu panik,” katanya.
Beliau memaklumkan kira-kira 980 orang kini berada di pusat perlindungan sementara, manakala pihak berkuasa telah memindahkan 36 individu terlantar ke hospital.
“Saya bangun untuk pergi bekerja dan jalan di hadapan rumah saya sudah dinaiki air.
“Saya bimbang sama ada motosikal saya mampu meredah air banjir setinggi ini,” kata penunggang motosikal, Samruay Nakkamnueng di kawasan Ari.
Menerusi beberapa video yang tular di media sosial, banyak kereta telah ditenggelami oleh air banjir.
Di kawasan On Nut pula, wartawan AFP melihat penduduk tempatan mengisi guni pasir untuk dibawa pulang bagi melindungi rumah dan premis perniagaan masing-masing.
Banjir paling buruk berlaku di bahagian timur bandar dan kawasan sepanjang terusan, menyebabkan Chadchart menggesa penduduk memindahkan barangan mereka ke tempat lebih tinggi.
“Masalah kita ialah terusan sudah penuh,” katanya.
Bangkok yang pernah digelar sebagai “Venice of the East” dibangunkan di atas bekas kawasan paya dan terletak kira-kira 1.5 meter di atas paras laut.
BMA sebelum ini memaklumkan stesen pam di bandar itu beroperasi pada kapasiti penuh dengan jumlah keseluruhan kira-kira 1,200 meter padu air dipam setiap saat.
September merupakan kemuncak musim hujan di Bangkok, namun jumlah hujan pada tahun ini lebih tinggi daripada kebiasaan berdasarkan data Jabatan Saliran dan Pembetungan.
Ibu negara Thailand itu merekodkan hujan sebanyak 487 mm antara 1 hingga 25 September, berbanding purata hampir 269 mm bagi tempoh sama antara 1991 hingga 2020.
Saintis memberi amaran bahawa intensiti dan kekerapan kejadian cuaca ekstrem dijangka meningkat apabila suhu bumi terus meningkat akibat pelepasan daripada penggunaan bahan api fosil.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand turut memberi amaran mengenai tekanan udara rendah yang melanda bahagian timur, timur laut dan tengah Thailand sehingga Ahad.





![[VIDEO] Banjir buruk di Bangkok, 50 daerah diisytihar zon bencana](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/bangkok-1024x738.jpeg)