Kereta dihempap lori tangki sebelum terbakar, pemandu dan penumpang disyaki rentung

LocalCars
14 Aug 2026 • 8:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kereta dihempap lori tangki sebelum terbakar, pemandu dan penumpang disyaki rentung
Tangkap layar video detik-detik lejadian yang tular di media sosial.

TEMERLOH – Pemandu dan semua penumpang disyaki rentung selepas kereta dinaiki dihempap lori tangki minyak yang terbalik sebelum kedua-dua kenderaan tersebut musnah terbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, setakat ini, butiran dan jumlah mangsa terlibat belum diketahui.

Menurutnya, pemandu lori tangki berusia 37 tahun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika lori tangki membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan menghala ke Temerloh.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk laluan bertentangan," katanya.

Mohd Nasyim berkata, kereta dinaiki mangsa dipercayai gagal mengelak lalu terlanggar bahagian sisi lori tangki tersebut.

"Akibat kejadian lori terbabit terbalik menghempap kereta sebelum di kedua-duanya terbakar.

"Pemandu dan penumpang yang belum pasti bilangannya tersepit dan rentung dalam kereta yang remuk," katanya.

Jelas beliau, pihak bomba mengambil masa untuk memadam kebakaran kerana melibatkan bahan api.

Beliau berkata, pasukan siasatan masih di lokasi untuk pengesahan jumlah dan butiran mangsa terlibat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu lori kini ditahan untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Menyusul

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved