
PETALING JAYA – Seorang pengusaha ikan air tawar di Jerantut, Pahang memaklumkan isteri dan anaknya mungkin mangsa maut dalam nahas melibatkan kereta jenis Perodua Bezza yang dihempap sebuah lori tangki dalam kejadian di Kilometer 9 Jalan Temerloh Triang, Temerloh.
Menerusi video tular dalam aplikasi WhatsApp, lelaki itu turut memohon maaf tidak dapat berurusan dengan orang ramai susulan kejadian kemalangan berkenaan.
“Saya nak bagitahu minta maaf sebab saya tak dapat berurusan apa-apa buat masa ini. Isteri saya baru kemalangan dan disahkan kemungkinan besar 95 peratus meninggal di tempat kejadian dengan anak saya.
“Buat masa ini, minta maaf tak boleh berurusan dan saya punya pasukan akan berurusan kawan-kawan semua.
“Doakan saya, doakan ahli keluarga, doakan isteri dan anak saya semoga diletakkan bersama soleh solehah,” katanya pada video tersebut.
Difahamkan, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nur Fatima Abdullah, 39, dan seorang kanak-kanak, Muhd Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12.
Kosmo! Online melaporkan, pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Bezza maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebuah lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter minyak petrol dan diesel sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar di Kilometer 9 Jalan Temerloh Triang di Temerloh hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron dipetik berkata, pada masa ini polis masih belum dapat mengenal pasti identiti individu terbabit kerana keadaan mangsa yang rentung dan dihempap lori berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, pemandu lori yang berusia 37 tahun berjaya menyelamatkan diri mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu serta penumpang kereta dipercayai rentung. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas lori tangki: ‘Hampir 95 peratus itu anak dan isteri saya’ appeared first on Kosmo Digital.





![[KEMASKINI] Identiti mangsa dalam Bezza dihempap lori tangki masih belum diketahui](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LORI-TANGKI-KEBAKARAN-1024x768.jpeg)
