Kereta hilang kawalan punca nahas ragut nyawa empat individu

LocalCars
4 Oct 2026 • 9:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kereta hilang kawalan punca nahas ragut nyawa empat individu

GERIK: Hilang kawalan ketika memandu dipercayai menjadi punca kemalangan maut yang mengorbankan empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, di sini hari ini.

Maklumat kemalangan kira-kira pukul 1.30 petang itu membabitkan Proton Persona dan lori Hino yang masing-masing bergerak dari arah Jeli ke Gerik, manakala Perodua Axia datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 19 tahun bersama empat penumpang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan itu kemudian melanggar bahagian sisi belakang Proton Persona yang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Gerik.

“Perodua Axia kemudiannya merempuh bahagian hadapan lori yang berada di belakang Proton Persona.

“Akibat rempuhan itu, Perodua Axia masuk ke bawah lori dan diseret sejauh kira-kira tiga hingga tujuh meter,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, empat mangsa yang berada dalam Perodua Axia disahkan meninggal dunia terdiri daripada pemandu dan seorang lelaki berusia 31 tahun, seorang wanita berusia 40 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan.

Katanya, seorang lagi kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu bersama semua penumpang Proton Persona dan pemandu serta kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan di lokasi kejadian termasuk rakaman gambar sudah dijalankan bagi membantu siasatan, manakala ketiga-tiga kenderaan terbabit akan dihantar untuk pemeriksaan teknikal.

Katanya, polis sedang mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera kenderaan (dashcam), sekiranya ada.

“Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

The post Kereta hilang kawalan punca nahas ragut nyawa empat individu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved