Kereta Langgar Paip Air, 5 Sekeluarga Termasuk Bayi Maut

LocalCars
3 Jun 2026 • 3:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kereta Langgar Paip Air, 5 Sekeluarga Termasuk Bayi Maut

KUALA LUMPUR - Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan, meninggal dunia selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh sebatang paip air di Jalan Baki Lama-Ensengei, Serian, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki, tiga wanita, dan seorang bayi perempuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikejarkan ke lokasi.

Menurut beliau, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9.04 pagi dan mendapati sebuah kenderaan mengalami kerosakan teruk selepas merempuh paip air di bahu jalan.

"Empat mangsa dewasa didapati tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba menggunakan peralatan khas.

"Seorang bayi perempuan pula ditemui oleh orang awam berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai tercampak keluar dari kenderaan ketika kemalangan berlaku," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Tambahnya, mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan siasatan berhubung punca kemalangan sedang dijalankan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.51 pagi. – Getaran, 3 Jun 2026