
KUALA LUMPUR - Kerja- kerja pembersihan di semua lokasi kejadian pokok tumbang di ibu negara Sabtu lepas masih lagi dijalankan.
Jurucakap Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, lokasi terlibat ialah beberapa kawasan di bawah Parlimen Seputeh dan Lembah Pantai.
Menurut beliau, semua kerja pembersihan itu digerakkan oleh Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi serta Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar.
“Berikut merupakan lokasi yang dilaporkan telah berlaku kejadian pokok tumbang iaitu Jalan Sepadu 6 dan Jalan Dato Haji Yusof di Taman Tan Yew Lai, Jalan Riang (Taman Gembira) dan Lorong Taman Pantai 4.
“Selain itu (kerja pembersihan juga dilakukan di) Jalan Bukit Pantai, Lorong Pantai 3, 89, Jalan Chenderai, Jalan Awan Sari di Taman Yarl, Jalan 9A (Taman Yew Lai), Jalan Pantai Murni 1 dan Jalan Tempinis,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
Jurucakap itu bagaimanapun tidak memperincikan jangkaan semua kerja tersebut selesai dilakukan.
Sabtu lalu, beberapa lokasi di sekitar ibu negara sekali lagi berdepan kejadian pokok tumbang, susulan hujan lebat dan ribut.
Sama seperti beberapa insiden terdahulu, bencana kali ini turut mendatangkan kerosakan harta benda, apabila beberapa kediaman dan kenderaan dilaporkan terjejas.
Turut berdepan masalah sama ialah 25 peniaga di Medan Selera SS2, Petaling Jaya yang mengalami kerugian besar apabila gerai mereka musnah sepenuhnya ditimpa pokok.
Universiti Malaya (UM) pula berdepan kerugian lebih RM1 juta selepas mengalami kerosakan ke atas beberapa infrastruktur, juga akibat insiden pokok tumbang.
Pada 7 Mei lalu, seorang pemandu peribadi, Md Rizal Atan, 47, maut di tempat kejadian dalam insiden pokok tumbang di hadapan Hotel Shangri-la, Jalan Sultan Ismail di sini.
Kejadian berkenaan turut mencederakan seorang pemandu e-Hailing dan penumpangnya yang merupakan wanita warga emas dari Sweden. - Getaran, 31 Mei 2024

