Kerja Korek Tanah Di Putra Heights Ada Permit Dari MBSJ & Petronas, Patuhi SOP – Datuk Bandar Subang Jaya

LocalPolitics
7 Apr 2025 • 10:10 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Tragedi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 1 April lalu kira-kira jam 8.10 pagi nyata mengejutkan ramai pihak.

Walaupun sudah hampir seminggu kejadian berlaku, ia masih lagi hangat diperkatakan hingga kini.

Ini kerana insiden tersebut telah menjejaskan penduduk berhampiran dengan 219 rumah terjejas akibat kejadian berkenaan.

Ekoran daripada tragedi itu juga, timbul dakwaan yang mengatakan berlaku kerja pengorekan tanah dan pembinaan dilakukan berhampiran lokasi kejadian.

Malah, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan baru-baru ini juga telah mengesahkan wujud kerja-kerja ekskavasi tanah yang dilakukan kira-kira 30 meter dari pusat letupan.

Kerja Pengorekan Tanah Ada Permit Dari MBSJ & Petronas Serta Patuhi SOP

Terbaharu, Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim mengesahkan kerja pengorekan tanah yang dilakukan berhampiran lokasi letupan saluran paip gas mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Malah, ia juga mempunyai permit sah daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Petronas.

Ada Terima Aduan Daripada Penduduk,MBSJ Lakukan Siasatan Selepas Dapat Aduan

Tambah Amirul Azizan lagi, pihaknya sebelum ini ada menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung kerja pengorekan tanah melalui Sistem Pengurusan Aduan.

“Kami sudah melakukan siasatan di lokasi berkenaan dan mendapati kerja itu memiliki permit daripada MBSJ dan pihak Petronas selain mematuhi prosedur ditetapkan,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Siasatan Pada Kawah Letupan Belum Dapat Dimulakan, Keadaan Tanah Tidak Stabil

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor mendedahkan kerja siasatan pada kawah letupan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) belum dapat dimulakan.

Ini kerana pihak berkuasa perlu menstabilkan lokasi ground zero yang kini berada dalam keadaan sangat tidak stabil akibat letupan serta ditakungi air hujan.

Jelas Hussein, bagi memulihkan keadaan, pengaliran sementara menerusi pembinaan longkang monsun yang merentasi saluran paip gas Petronas telah dibuat.

“Ini termasuk kerja-kerja ‘heat mapping’ (100-650 Celcius) melibatkan 300 meter radius, ini adalah fasa pertama.

“Dalam fasa kedua, kita akan memastikan keselamatan dan kestabilan tanah sebelum kerja pengorekan bagi memperlihatkan saluran paip gas dan pencarian keterangan fizikal dapat dilakukan.

“Ini melibatkan aktiviti pemeriksaan permukaan tanah, pengkelasan tanah dan pemasangan cerucuk keping yang akan berlangsung 7 April hingga 15 April,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Siasatan Bermula Selepas Semua Proses Selesai

Tambah Hussein lagi, pihak JKKP dan polis hanya akan memulakan siasatan dan mengenal pasti punca kejadian selepas kesemua proses berkenaan diselesaikan.

Ia diikuti dengan proses pemeriksaan, pembaikan serta penyambungan semula bekalan paip gas yang terjejas.

Ketika disoal tentang tempoh untuk menstabilkan keadaan tanah, Hussein menjelaskan ia mungkin mengambil tempoh yang agak lama memandangkan kawah yang terhasil akibat letupan tersebut mempunyai kedalaman sejauh tujuh meter.

“Dengan keadaan hujan sekarang kita terpaksa keluarkan air dahulu (dari kawah), itu saja akan mengambil masa tujuh hingga 10 hari.

“Cabaran lain adalah kita kena keluarkan tanah lapisan demi lapisan sampailah pada kedalaman enam meter selepas memasang cerucuk keping, disusuli usaha mendokumenkan video dan gambar untuk bantu siasatan.

“Selepas itu, baru kita boleh masuk dan keluarkan laporan awal dalam dua minggu lagi,” jelasnya.

Source: