
SHAH ALAM - Kerja pembersihan tumpahan minyak kesan insiden kemalangan lori di Kilometer 27.9 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur telah mencapai tahap 57 peratus setakat jam 8 pagi, Khamis.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, kontraktor yang dilantik bersama Air Selangor dan pihak Indah Water Konsortium (IWK) sedang mempergiatkan kerja-kerja berkenaan.
Menurutnya, sebanyak empat lori tangki IWK telah digunakan bagi menyedut sisa minyak di sum lebuh raya.
"Pada masa sama, kerja-kerja pembersihan secara manual (menyodok keluar sisa minyak) juga dilaksanakan bagi mempercepatkan proses," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS terus berada di tapak memantau rapi kerja-kerja berkenaan.
Pada Rabu, media melaporkan insiden kemalangan lori tangki muatan minyak kelapa sawit di lokasi kejadian telah menyebabkan tumpahan minyak daripada kenderaan itu yang mengalir ke longkang berhampiran dianggarkan sepanjang 150 meter.
Semakan LUAS juga mendapati terdapat limpahan tumpahan tersebut di sum lebuh raya mengalir ke anak Sungai Gombak, bagaimanapun aliran tumpahan tersebut telah membeku.
LUAS telah menyelaraskan kerja-kerja penyedutan dan pembersihan di lokasi dengan kadar segera melalui kontraktor yang dilantik.
Setakat jam 11.30 malam Rabu, sebanyak 20 tan tumpahan minyak kelapa sawit telah membeku dengan lapisan yang tebal di dalam longkang dan sum lebuh raya itu.




