Desas-desus mengejutkan timbul apabila khabar angin mendakwa bahawa kerjasama antara Xiaomi dan Leica bakal berakhir dalam masa terdekat. Spekulasi ini bermula daripada ciapan terkini oleh peniris terkenal, Digital Chat Station yang menyatakan bahawa siri Xiaomi akan menghentikan kerjasama bersama Leica.

Namun, Xiaomi segera tampil menafikan dakwaan tersebut. Wang Hua, Pengurus Besar Perhubungan Awam Xiaomi menyelar khabar angin itu sebagai tidak berasas, sambil merujuk semula kepada spekulasi serupa yang pernah muncul sekitar Jun 2024.
Meskipun khabar angin tersebut terus tersebar, Xiaomi menegaskan bahawa kerjasama mereka dengan Leica masih berlangsung dan semakin kukuh. Antara langkah yang menunjukkan kesinambungan kerjasama termasuk reka bentuk tera air kamera baharu, pengenalan mod imej eksklusif Leica, serta penyesuaian tona warna dalam antaramuka pengguna.

Xiaomi 15 Ultra terus menjadi simbol kerjasama erat antara Xiaomi dan Leica menerusi penggunaan sistem kamera Leica serta reka bentuk ikonik yang masih dikekalkan. Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Leica berhubung dakwaan tersebut. Namun begitu, sumber daripada Xiaomi India turut mengesahkan bahawa kerjasama strategik bersama Leica masih kukuh dan berterusan.


