Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Malam tadi (16 Julai), Perikatan Nasional (PN) mengumumkan 11 calon gabungan itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sekaligus memuktamadkan teka-teki mengenai kerusi yang tidak ditandingi oleh Barisan Nasional (BN).
Persefahaman pembahagian kerusi antara BN-PN ini sekaligus melengkapkan jumlah keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan BN bertanding di 25 kerusi dan PN 11.
Tarik Sokongan Terhadap Pentadbiran Kerajaan Negeri 1 Tindakan Berani – Tuan Ibrahim
Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada malam tadi (16 Julai), tindakan UMNO yang menarik sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri membuka ruang kepada rakyat untuk memilih pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos akan datang.
Baca Artikel Berkaitan: PRN Negeri Sembilan: Senarai Calon Pakatan Harapan, Barisan Nasional & Perikatan Nasional
‘Sudah Bosan PH Tadbir Negeri Sembilan’ – Tuan Ibrahim
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim merakamkan penghargaaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO selain menegaskan ia merupakan satu keputusan yang berani.
“Saya nak ucap terima kasih kepada UMNO kerana mengisytiharkan tarik sokongan di Negeri Sembilan menyebabkan rakyat di Negeri Sembilan boleh memilih pada pilihan raya kali ini.
“Tindakan ini satu tindakan berani kerana sudah bosan dengan tindakan PH (Pakatan Harapan) mentadbir mengurus Negeri Sembilan,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Negeri Sembilan.
Tambahnya, ‘gelombang hijau’ juga akan merebak di Negeri Sembilan bermula PRN kali ini berikutan keputusan kerjasama tersebut.

Tuan Ibrahim Dakwa Naratif DAP Tentang ‘Gelombang Hijau’ Tak Berjaya Pengaruhi Pengundi
Dakwanya, tindakan DAP yang terus memainkan naratif ‘gelombang hijau’ bagi menakut-nakutkan pengundi Cina tidak berjaya mempengaruhi rakyat yang akhirnya ‘memakan’ diri mereka (parti) sendiri.
“Kita tahu bagaimana DAP cuba menakut-nakutkan pengundi Cina khususnya dengan gambaran ‘Green Wave’ atau gelombang hijau yang dikatakan mengancam kestabilan dan keharmonian.
“Sejarah membuktikan, semakin kuat mereka menakut-nakutkan pengundi Cina, semakin kuat mereka ditolak oleh pengundi itu,” katanya.
Tuan Ibrahim Dakwa PH Akan Hilang Sokongan Pada PRN Negeri Sembilan
Katanya, DAP bukan sahaja kehilangan sokongan di Sabah dan Johor, malah beliau percaya parti itu bakal turut hilang sokongan pada PRN N9 nanti.
Hal ini kerana, rakyat kini dikatakan mampu mendapatkan akses kepada pelbagai maklumat dan boleh membuat penilaian sendiri tanpa mudah dipengaruhi dengan dakwaan yang tidak berasas oleh parti-parti.
Samsuri Tidak Tolak Kemungkinan Kerjasama BN-PN Diteruskan Untuk Pilihan Raya Akan Datang
Dalam pada itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di dalam majlis sama berkata parti itu tidak menolak kemungkinan akan meneruskan kerjasama dengan BN pada pilihan raya akan datang sekiranya kerjasama pada PRN kali ini membawa keputusan positif.
“Sudah tentu apabila kita berdepan sesuatu pilihan raya, kita sentiasa melakukan penambahbaikan.
“Jika keputusan yang mampu kita capai dalam PRN Negeri Sembilan ini baik, kita akan tambah baik lagi supaya pada pilihan raya berikutnya kita memperoleh keputusan yang lebih baik,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Baca Artikel Berkaitan: “Ada Persefahaman Dengan Kawan?” – Pemimpin MCA Persoal Dakwaan Kerjasama UMNO-PAS Dalam PRN N9
Baca Artikel Berkaitan: PRN Negeri Sembilan: “Saya Bukan Lari Dari Sikamat” – Aminuddin Dedah Kenapa Beralih Ke Linggi






