'Terima kasih UMNO ambil tindakan berani'- Tuan Ibrahim

LocalPolitics
17 Jul 2026 • 12:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Terima kasih UMNO ambil tindakan berani'- Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim berucap pada Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Kompas Kampung Ismail pada Khamis.

SEREMBAN - Tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Sembilan sebagai satu keputusan berani yang dapat memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan semula pentadbiran negeri itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut membolehkan rakyat negeri itu kembali membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada UMNO kerana telah mengisytiharkan menarik sokongan di Negeri Sembilan yang menyebabkan rakyat di negeri ini boleh memilih pada pilihan raya kali ini.

"Tindakan ini satu tindakan yang berani kerana dah bosan dengan cara Pakatan Harapan (PH) mentadbir dan mengurus Negeri Sembilan," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Kompas Kampung Ismail, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim mendakwa pada pilihan raya ini, DAP akan terus memainkan naratif 'gelombang hijau' bagi menakut-nakutkan pengundi Cina sepanjang kempen pilihan raya.

Menurutnya, strategi berkenaan telah digunakan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, namun ia tidak berjaya mempengaruhi pengundi.

"Kita tahu bagaimana DAP cuba menakut-nakutkan pengundi Cina khususnya dengan gambaran 'Green Wave' atau gelombang hijau yang dikatakan mengancam kestabilan dan keharmonian.

"Sejarah membuktikan, semakin kuat mereka menakut-nakutkan pengundi Cina, semakin kuat mereka ditolak oleh pengundi itu," katanya.

Tambahnya, DAP kehilangan sokongan di Sabah dan Johor, malah yakin parti itu akan turut kehilangan sokongan pada PRN Negeri Sembilan.

Katanya, rakyat kini mempunyai akses kepada pelbagai maklumat dan mampu membuat penilaian sendiri tanpa mudah dipengaruhi dengan dakwaan yang tidak berasas.

Tuan Ibrahim berkata, PRN Negeri Sembilan merupakan permulaan kepada satu perubahan baharu dalam landskap politik negara.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved