
ARAU: Cadangan supaya Pas membuktikan keikhlasan kerjasama dengan UMNO melalui agihan kerusi menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri-negeri SG4 adalah tidak munasabah.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, keikhlasan antara UMNO dan Pas tidak boleh diukur dengan segeranya diadakan PRN.
Beliau berkata, apa yang lebih penting, UMNO dan Pas perlu menjalinkan kerjasama terlebih dahulu sebelum berbincang soal pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Jika soal agihan kerusi menjadi keutamaan ia bakal menimbulkan masalah merealisasikan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu Islam itu.
“Hendak adakan pilihan raya kena tunggu apabila ia terbubar nanti, kalau hendak adakan pilihan raya secara tiba-tiba, nanti rakyat akan menolak kita. Keikhlasan boleh diukur apabila kita berjaya dalam perundingan seperti di Negeri Sembilan baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, PRN di satu negeri dalam gabungan SG4 khususnya Terengganu wajar dijadikan medan menguji keikhlasan rakan politik menjalin kerjasama.
Shahidan yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Perlis berkata, pengagihan kerusi adalah soal teknikal yang diyakini mampu diselesaikan.
“Kerjasama dahulu, baru bincang soal kerusi. Kalau asyik soal kerusi ia akan menimbulkan masalah. Jangan tolak kerjasama dan penyatuan yang semakin direalisasikan,” katanya.
Kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu, kerjasama dua parti tersebut sebelum ini gagal disebabkan UMNO menolak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam PN.
“Sekarang Bersatu sudah tidak ada, tidak ada sebab lagi kerjasama antara UMNO dan Pas tidak boleh direalisasikan,” katanya.-UTUSAN.
The post ‘Kerjasama dahulu, baru bincang soal agihan kerusi’ appeared first on Utusan Malaysia.






