Pas Pusat buka laluan kerjasama PN-BN di Melaka

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 8:08 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pas Pusat buka laluan kerjasama PN-BN di Melaka

MELAKA: Pas Pusat membuat ketetapan untuk menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) me­lalui Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat Agung Pas Pusat, Kuala Lumpur petang kelmarin.

Sumber dalaman parti berkata, ketetapan itu menunjukkan Pas Pusat bersedia mengutamakan agenda penyatuan ummah dalam usaha mengelakkan pertembu­ngan parti Melayu-Islam.

Menurut sumber itu, keputusan berkenaan turut mengambil kira keperluan mewujudkan persefahaman politik antara PN dan BN bagi memastikan pembahagian kerusi dapat dilakukan secara lebih tersusun.

“Kerjasama ini penting bagi mengelakkan pertembungan yang boleh memecahkan undi, selain memberi ruang kepada kedua-dua gabungan menyusun strategi pilihan raya secara lebih berkesan.

“Namun, perkara ini masih perlu melalui proses perbincangan di peringkat PN sebelum rundi­ngan rasmi dengan BN dimulakan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam perkembangan ber­kaitan, cadangan Pe­suruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail supaya parti itu bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka dilaporkan tidak dipersetujui Presiden Pas.

Sumber berkata, tuntutan ber­kenaan dianggap tidak wajar kerana tidak mencerminkan semangat penyatuan ummah.

Katanya, Pas Pusat berpanda­ngan sebarang pembahagian kerusi perlu mengambil kira kepen­tingan bersama dan tidak boleh dilihat sebagai usaha untuk me­nguasai kawasan secara sepihak.

“Pendekatan yang perlu diambil adalah bertolak ansur dan mengutamakan matlamat lebih besar. Tuntutan jumlah kerusi yang terlalu tinggi tidak selari dengan semangat penyatuan yang sedang diusahakan,” katanya.

Sumber sama memaklumkan, keputusan Pas Pusat akan dibawa ke mesyuarat tertinggi PN yang dijangka berlangsung minggu ini sebelum disusuli pertemuan de­ngan BN dalam masa terdekat.

“Selepas keputusan di peringkat PN, barulah rundingan secara rasmi dengan BN dapat dilakukan, termasuk mengenai pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama yang bakal dipersetujui.

“Semua pihak perlu bersikap terbuka kerana matlamat utama adalah memastikan pertandingan satu lawan satu dapat diwujudkan di kawasan-kawasan tertentu,” katanya.-UTUSAN.

The post Pas Pusat buka laluan kerjasama PN-BN di Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved