Kerjasama GRS-BN Dalam Kerajaan Sabah Berjalan Baik

Politics
25 Nov 2022 • 9:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hajiji Noor (kiri) dan Bung Moktar - Gambar fail

KOTA KINABALU - Hubungan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri berjalan dengan baik, tegas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini.

“Kami sepakat memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi Sabah dan memacu pembangunan negeri,” kata Hajiji kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Sebaik Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, membentangkan belanjawan bertemakan 'Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera' itu, Bung Moktar bingkas bangun untuk menyokong usul belanjawan berkenaan.

Sementara itu, ditanya tentang kenyataan beliau bahawa GRS mengisytihar ‘perang’ kerana menyokong calon perdana menteri tanpa perbincangan dengan BN Sabah, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata ia hanyalah luahan peribadi dan mengakui sedikit emosi ketika itu.

“Politik memang begitu. Kadangkala anda perlu menempuh sesuatu,” katanya sambil menegaskan tiada perselisihan berlaku antara GRS dan BN Sabah.

Sebelum ini, Bung Moktar dilaporkan berkata tindakan GRS menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri melanggar perjanjian kerjasama dua parti itu dan mendakwa ia tindakan isytihar ‘perang’ kepada BN Sabah.

GRS dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama dengan BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi mentadbir negeri ini.

Bung Moktar berkata pemimpin BN Sabah sentiasa berjiwa besar demi menjamin keharmonian serta kestabilan politik di negeri itu. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved