Kerjasama GRS-BN (sudah dipersetujui) diteruskan

LocalPolitics
17 Nov 2022 • 4:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin kerjasama antara Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan diteruskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Formula GRS-BN sudah membuktikan di peringkat negeri kita telah mencapai hubungan kerja yang kukuh untuk mentadbir dan membawa banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat.

“Sudah tentu... ia adalah kesinambungan mandat yang diberikan oleh rakyat semasa pilihan raya negeri lalu. Kita perlu ada kerjasama padu untuk memastikan kita menjunjung mandat ini,” katanya selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) di Tamparuli pada 10 Nov.

Mengenai sama ada Kerajaan Sabah akan mengisytiharkan menjelang pilihan raya, 18 November sebagai cuti umum, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu.

Terdahulu, beliau berkata pendidikan penting untuk pembangunan negeri.

Justeru itu, katanya Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM3.38 juta kepada badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh di Tuaran tahun ini.

Daripada jumlah itu RM1.078 juta adalah untuk badan agama bukan Islam dan selebihnya untuk sekolah Cina dan mubaligh di daerah Tuaran.

Beliau mengulangi, Kerajaan Negeri bersetuju meningkatkan keseluruhan

peruntukan negeri bagi badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh sebanyak RM7 juta kepada RM54 juta tahun depan.

Dalam ucapannya merasmikan bangunan baharu SMAT yang boleh memuatkan 500 pelajar pada satu-satu masa, Hajiji memuji sekolah yang sebelum ini dikenali sebagai Seventh-Day Adventist Secondary School atau SASS, kerana melahirkan ramai pelajar yang berjaya sepanjang lebih 80 tahun kewujudannya.

Beliau berkata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai, yang merupakan Adun Kiulu dan calon GRS bagi Ahli Parlimen Tuaran, sebagai salah seorang daripada mereka.

“Saya percaya SMAT akan meneruskan kecemerlangan pendidikannya dengan memberi peluang kepada pelajar untuk cemerlang, khususnya dari luar bandar,” katanya.

Sebagai penghargaan kepada tenaga pengajar SMAT, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk membantu pengurusan sekolah itu dalam meningkatkan program akademiknya.

Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan permintaan SMAT untuk kemudahan pendidikan lain termasuk gelanggang bola keranjang berbumbung.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Syahrin Samsir; Penolong Pegawai Daerah Tamparuli Herman Tugingging; Setiausaha Eksekutif Misi SDA Sabah, Pastor Earie Madius; Pengarah Misi Kesatuan Malaysia SDA Golden Gadoh dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMAT George Teo.

Hajiji juga tidak teragak-agak untuk meluluskan permohonan tanah seluas 0.25 ekar oleh SJK (C) Chung Hwa untuk projek Taman Hijau dan Alam Semula Jadinya.

Beliau memuji lembaga pengurusan SJK (C) Chung Hwa Tamparuli dan tenaga pengajarnya atas komitmen tinggi mereka untuk membina Taman Hijau dan Alam Semula Jadi, yang akan memberi manfaat kepada murid-murid.

“Ia akan mendidik murid untuk menjaga dan menghormati alam sekitar, yang merupakan aspek yang sangat penting dalam membentuk generasi muda kita untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Hajiji turut memberi kejutan kepada guru dan murid SJK (C) Chung Hwa Tamparuli dengan meluluskan sebanyak RM150,000 untuk Taman Hijau dan Alam Semula Jadi, papan pintar dan pancaragam sekolah seperti yang diminta oleh pengerusi lembaga pengurusan SJK (C) Chung Hwa Tamparuli Chong Hong Kong semasa ucapannya sebelum itu.

“Kerajaan ini adalah kerajaan rakyat yang diberi mandat untuk membangunkan Sabah dan menjamin kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.

“Saya harap rakyat faham bahawa kita memerlukan kerajaan yang kukuh dan stabil supaya kita boleh membangunkan negeri kita dan menghulurkan bantuan seperti kepada SJK (C) Chung Hwa Tamparuli,” katanya.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Tah Nia Jaman, Pengerusi Lembaga Pengurusan SJK (C) Chung Hwa Tamparuli Chong Hong Kong, Guru Besar Brandon Lim, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru George Teo dan ketua masyarakat setempat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.