Kerjasama grup elemen penting tawan Trans CUS

25 Oct 2026 • 12:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerjasama grup elemen penting tawan Trans CUS

EKSPEDISI Trans Chamah Ulu Sepat (Trans CUS) bukan sekadar misi menawan dua gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia, malah menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.

Itulah pengalaman yang dilalui oleh Muhammad Hafiz Muhamad Taufik ketika menyertai ekspedisi selama lima hari empat malam merentas Banjaran Titiwangsa.

Perjalanannya bersama 25 peserta lain bermula di Stesen Kereta Api Gua Musang, Kelantan dengan menaiki pacuan empat roda selama kira-kira dua jam melalui jalan balak menuju ke pintu rimba.

Menurut pemuda berusia 32 tahun itu, mereka kemudian meneruskan perjalanan lebih tiga jam melalui hutan tebal, bukit dan sungai sebelum tiba di Kampung Rekom.

“Kami membawa beg seberat 15 hingga 20 kilogram sepanjang ekspedisi dan bermalam selama dua hari di pondok pendaki di Kampung Rekom.

“Lantainya diperbuat daripada buluh, jadi angin yang masuk dari bawah menjadikan suasana malam sangat sejuk.

“Kami memulakan pendakian Gunung Chamah pada pukul 2 pagi dan tiba di puncak sekitar 12.30 tengah hari selepas merentasi beberapa sungai serta laluan berselut.

“Ketika turun, saya mengalami pening kepala yang teruk sehingga terpaksa berehat di Puncak Anak Chamah, sebelum tiba semula di Kampung Rekom sekitar pukul 6.30 petang,” katanya kepada CitaRasa.

Cabaran bertambah apabila Muhammad Hafiz meneruskan perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa pada hari ketiga menuju ke Kem Sungai Lepir.

Beberapa ahli kumpulan tersasar ke laluan yang digunakan masyarakat Orang Asli untuk ke kebun dan sungai.

Selepas hampir sejam menunggu dan usaha mencari oleh malim gunung, mereka akhirnya berjaya dikumpul semula.

Image from: Kerjasama grup elemen penting tawan Trans CUS
Panorama hijau Banjaran Titiwangsa menemani para peserta sepanjang pendakian.

Laluan lama tidak digunakan sejak penutupan hutan pada November 2024 turut menyukarkan perjalanan apabila beberapa bahagian perlu ditebas semula.

Sepanjang perjalanan, peserta juga menemui kesan tapak kaki dan najis harimau belang, sekali gus mengingatkan mereka bahawa kawasan itu merupakan habitat hidupan liar.

Memandangkan hari sudah lewat, mereka bermalam di Kem Maggi, bersebelahan anak sungai, sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Sungai Lepir pada keesokan harinya.

Hari keempat merupakan bahagian paling mencabar kerana peserta perlu mengejar semula perjalanan yang tertangguh, menawan Gunung Ulu Sepat dan turun semula ke Kampung Lenweng.

Selepas tiba di Kem Sungai Lepir sekitar pukul 3 petang, para peserta meneruskan pendakian ke persimpangan Gunung Ulu Sepat.

Dari persimpangan itu, Muhammad Hafiz meninggalkan beg, dan hanya membawa air serta lampu untuk ke puncak.

“Walaupun hanya mengambil masa 30 minit untuk ke puncak Ulu Sepat, namun trek berselut hingga paras lutut sangat mencabar.

“Perjalanan turun ke Kampung Lenweng pula lebih sukar kerana trek curam, keadaan gelap dan beg berat sehingga saya beberapa kali terfikir untuk berhenti.

“Namun dengan bantuan sweeper, kami berjaya tiba di kampung itu sekitar pukul 3 pagi,” katanya.

Di sebalik cabaran itu, pengalaman bermalam di perkampungan Orang Asli dan melihat langit malam yang dipenuhi bintang menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang ekspedisi.

Pada hari terakhir, peserta meneruskan perjalanan kira-kira 11 kilometer ke Pos Kemar, sebelum menaiki pacuan empat roda ke Bawong Sentral, Sungai Siput, Perak.

Perjalanan keluar itu turut menguji ketahanan apabila laluan balak yang tidak rata menyebabkan kenderaan bergoncang kuat.

Menurut Muhammad Hafiz, ekspedisi itu turut meninggalkan kenangan lucu apabila beberapa peserta mengalami muntah ketika berjalan menuju ke Pos Kemar.

“Beberapa peserta muntah ketika perjalanan keluar. Kami mendapati mereka makan cendawan yang dimasak ‘cef’ kumpulan pada pagi itu.

“Ekspedisi ini juga mengajar saya pentingnya kerjasama. Pendaki G7 perlu bersedia dari segi fizikal dan mental serta memilih malim gunung dipercayai,” katanya.

The post Kerjasama grup elemen penting tawan Trans CUS appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved