Kerjasama Malaysia-Bangladesh diperluas ke bidang AI, semikonduktor, pertumbuhan baharu - Anwar

LocalTechnology
22 Jun 2026 • 12:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerjasama Malaysia-Bangladesh diperluas ke bidang AI, semikonduktor, pertumbuhan baharu - Anwar
Anwar (empat dari kanan) mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Tarique Rahman dari Bangladesh sejurus selepas sambutan rasmi Perdana Menteri itu di Bangunan Perdana Putra hari ini.- Foto: Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerjasama antara Malaysia dan Bangladesh perlu diperluaskan ke bidang-bidang baharu dan sedang berkembang termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga dan semikonduktor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun pelaburan kekal penting, kerjasama antara kedua-dua negara juga perlu melangkaui sektor tradisional dan merangkumi penyelidikan serta teknologi baharu, khususnya dalam bidang AI yang merupakan antara cabaran utama masa hadapan.

"Kita perlu memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala, seperti yang saya nyatakan, dalam bidang-bidang baharu selain pertanian yang masih menjadi antara sektor utama, termasuk semikonduktor, ekonomi digital, tenaga dan pembuatan termaju,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar dan Tarique turut menyaksikan pertukaran satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan serta dua pertukaran Nota (EoN) dalam bidang Penyelidikan Antikeganasan serta Promosi dan Pemudahcaraan Pelaburan.

"Saya menyatakan kebimbangan terhadap masyarakat Rohingya yang berlindung di Bangladesh serta merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berterusan dalam memastikan proses penghantaran pulang mereka ke Myanmar dilaksanakan secara selamat, bermaruah dan mampan," katanya.

Terdahulu, Anwar dan Tarique mengadakan perbincangan dua hala bagi menilai perkembangan hubungan Malaysia-Bangladesh serta meneroka peluang memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian dan pendidikan.

Kedua-dua pemimpin itu turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Kebudayaan, serta dua pertukaran nota (EoN) berkaitan penyelidikan antikeganasan dan promosi serta pemudahcaraan pelaburan.

Tarique, yang tiba di sini malam tadi, bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia atas jemputan Anwar, yang juga lawatan rasmi dua hala pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari 2026.

Pada 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (AS$2.84 bilion), dengan eksport Malaysia ke negara itu bernilai RM10.08 bilion (AS$2.35 bilion), didominasi produk petroleum.

Import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.10 bilion (AS$500 juta), membabitkan tekstil, pakaian dan kasut.

Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global, selain rakan dagang kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India, termasuk sebagai destinasi eksport dan sumber import utama. - Bernama