
PETALING JAYA: Desas-desus Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjalinkan kerjasama dengan PKR hanya spekulasi yang tidak berasas.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, spekulasi tidak boleh dijadikan asas dan kepercayaan yang mengikat kepada sebarang bentuk penjajaran dalam politik.
“Spekulasi,” jawabnya ringkas kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Bersatu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya parti itu akan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan mengenai wujudnya pertemuan dan perbincangan antara pimpinan partinya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tujuan mewujudkan kerjasama dengan PH juga tidak benar.
Spekulasi mula bertiup kembali selepas Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang semasa menyampaikan perbahasan pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, mencuri perhatian apabila menggelarkan beberapa ADUN PH sebagai ‘sahabat’ dan ‘teman’.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu menyifatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai ‘adinda’, selain Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim sebagai ‘sahabat’ dan ADUN Sentosa, Gunaraj R George sebagai ‘teman’.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, sebarang bentuk kerjasama perlu diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.
Beliau berkata, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di Selangor juga tidak pernah membincangkan sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu.
“Kita serah kepada pucuk pimpinan pusat (MPP). Setakat ini tidak dibincang di peringkat MPN Keadilan Selangor,” katanya.
Sementara itu, Fuziah berkata, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bakal merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, esok.
Menurut beliau, Nurul Izzah turut dijadual menghadiri kongres induk parti berkenaan yang berlangsung sehingga Ahad ini.
“Nurul Izzah akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita esok dan akan hadir kongres,” katanya. – UTUSAN
The post Kerjasama PKR, Bersatu hanya spekulasi – Fuziah appeared first on Utusan Malaysia.



