Hubungan baik bukan petanda PKR, Bersatu jalin kerjasama

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 8:25 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hubungan baik bukan petanda PKR, Bersatu jalin kerjasama

PETALING JAYA: Belum ada sebarang keputusan atau perbincangan rasmi berhubung dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang menjalin kerjasama dengan PKR untuk membentuk kerjasama politik.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Na’im Brundage berkata, dalam politik, pertemuan, komunikasi atau hubungan baik antara individu daripada parti berlainan tidak boleh secara automatik ditafsirkan sebagai pembentukan jajaran politik baharu.

Beliau berkata, sebarang kerjasama sebesar itu tentunya perlu melalui proses dan keputusan rasmi parti.

“Fokus Bersatu sekarang adalah mempertahankan hak parti, memastikan suara ahli gabungan Perikatan Nasional (PN) dihormati dan menentukan hala tuju yang terbaik untuk perjuangan parti demi kepentingan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas dakwaan Bersatu mahu ROS menggantung PN, Na’im berkata, itu bukan tujuan Bersatu melaporkan pelanggaran-pelanggaran Perlembagaan PN kepada RoS.

Katanya, tujuan laporan itu dibuat adalah untuk mempertahankan hak Bersatu sebagai salah sebuah parti pengasas PN.

“Isunya bukan mahu melihat PN digantung, tetapi memastikan PN ditadbir berlandaskan Perlembagaan, keputusan dibuat melalui saluran yang sah dan semua parti anggota diberikan hak serta layanan yang adil.

“Jika RoS akhirnya mengambil apa-apa tindakan terhadap PN, itu adalah keputusan RoS berdasarkan undang-undang dan hasil penelitian mereka, bukannya keputusan Bersatu,” katanya.

Sekiranya PN digantung, tambah Na’im, sudah tentu ada kesan negatif kepada semua parti komponen termasuk Bersatu kerana ia boleh menjejaskan penggunaan lambang PN pada pilihan raya akan datang.

“Jadi, tidak tepat untuk menggambarkan penggantungan PN sebagai sesuatu yang menguntungkan Bersatu. Namun pada masa sama, Bersatu tidak boleh berdiam diri sekiranya haknya sebagai anggota gabungan dinafikan,” katanya.

Baru-baru ini, Bersatu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya parti itu akan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan mengenai wujudnya pertemuan dan perbincangan antara pimpinan partinya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tujuan mewujudkan kerjasama dengan PH juga tidak benar.

Spekulasi mula bertiup kembali selepas Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang semasa menyampaikan perbahasan pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, mencuri perhatian apabila menggelarkan beberapa ADUN PH sebagai ‘sahabat’ dan ‘teman’.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu menyifatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai ‘adinda’, selain Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim sebagai ‘sahabat’ dan ADUN Sentosa, Gunaraj R George sebagai ‘teman’. – UTUSAN

The post Hubungan baik bukan petanda PKR, Bersatu jalin kerjasama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved