Kerjasama politik demi selamatkan negara, bukan ikatan kekal - Mohamed Khaled

LocalPolitics
26 Jul 2026 • 2:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerjasama politik demi selamatkan negara, bukan ikatan kekal - Mohamed Khaled
Mohamed Khaled (dua dari kanan) ketika menghadiri Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Sirusa pada Ahad.

PORT DICKSON – Kerjasama politik yang membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu diwujudkan bagi menyelamatkan negara daripada berdepan ketidaktentuan politik selain memastikan pentadbiran dapat diteruskan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan parti-parti untuk bekerjasama ketika itu dibuat berdasarkan keperluan semasa, bukannya satu ikatan yang menghalang mereka kembali mendapatkan mandat rakyat apabila pilihan raya diadakan.

Menurut beliau, persefahaman itu dimeterai semata-mata bagi memastikan negara mempunyai sebuah kerajaan yang stabil.

"Keadaan memaksa kita untuk bersama dan kita bersetuju untuk bersama bagi menyelamatkan negara supaya mempunyai kerajaan.

"Apabila kita mewujudkan kerajaan di peringkat pusat, ia adalah satu kerjasama yang dipersetujui dan ditandatangani untuk membentuk kerajaan pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serangan demi serangan kempen ke atas Barisan Nasional (BN) yang dilihat tidak menjaga Kerajaan Perpaduan selepas menghadiri Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Sirusa di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerjasama tersebut tidak sepatutnya dianggap sebagai satu perjanjian yang mengikat selama-lamanya.

"Ia bukan satu tanda tangan yang kontrak sampai mati. Ia hanyalah satu persetujuan untuk mewujudkan kerajaan di peringkat pusat dan sepatutnya tidak mengikat," katanya.

Beliau menambah, apabila tiba masanya untuk kembali kepada rakyat melalui pilihan raya, semua parti berhak menawarkan diri bagi mendapatkan mandat baharu.

"Apabila ada masa untuk kita balik kepada rakyat, maka biarlah rakyat membuat keputusan.

"Atas sebab itulah pelbagai parti menawarkan diri untuk kembali kepada rakyat dan rakyat yang akan menentukan pilihan mereka," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved