
JOHOR BAHRU: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) khususnya yang dijalin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini merupakan satu persefahaman politik bertujuan menyatupadukan masyarakat Melayu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama tersebut bagaimanapun tidak melibatkan gabungan mana-mana parti komponen dalam kedua-dua gabungan terbabit.
Sehubungan itu katanya, masyarakat bukan Melayu tidak perlu berasa bimbang atau terancam dengan strategi kerjasama yang sedang dijalin.
“Kerjasama ini merupakan satu persefahaman, bukan gabungan parti politik. Persefahaman yang dapat kita jayakan di peringkat ini adalah supaya tidak berlaku pertembungan. Hanya persefahaman dan bukannya gabungan.
“Disebabkan itu, parti-parti terlibat ini boleh mempunyai pandangan berbeza-beza, tiada masalah kerana kita tidak bergabung. Kita hanya mahu pastikan menerusi persefahaman ini kita tidak bertembung, jadi pihak-pihak lain jangan keliru,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, masa akan menentukan sejauh mana persefahaman politik antara BN dan PN itu boleh dijayakan demi matlamat menyatukan masyarakat Melayu di negara ini.
“Semasa PRN Johor, tiada persefahaman, langsung tiada persefahaman, BN lawan dengan PN di beberapa kawasan, tetapi nampaknya masyarakat Melayu telah berikan pemusatan dengan memilih BN dan UMNO di Johor.
“Di Johor kejayaan itu terhasil menerusi inisiatif Rumah Bangsa, apabila golongan atas pagar dan pengundi muda majoritinya pergi kepada UMNO kerana mereka memilih kestabilan. Maka apabila kita masuk PRN Negeri Sembilan, UMNO menjadi antara faktor pemusatan, atau pusat graviti orang Melayu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan tiada mana-mana pihak boleh mempertikaikan perpaduan dan kestabilan masyarakat Melayu di negeri ini, termasuklah masyarakat bukan Melayu.
“Kestabilan perpaduan orang Melayu sebagai bangsa majoriti dalam negara adalah baik untuk Malaysia. Sebaliknya perpecahan bangsa Melayu boleh menyebabkan negara kita berpecah belah. Agama Islam sendiri menyeru perpaduan dalam kalangan umatnya.
“Kaum-kaum lain tidak perlu berasa bimbang, UMNO melalui BN sentiasa melibatkan kaum lain dalam urusan pentadbiran negara kerana kita menerima kepelbagaian sejak dahulu lagi. Wakil setiap kaum perlu ada dalam kerajaan.
“UMNO dan BN akan pastikan hak-hak kaum lain itu dihormati. Mereka akan turut mendapat manfaat daripada segala dasar yang kita jayakan berasaskan kepada perlembagaan negara,” katanya.-UTUSAN
The post Kerjasama BN, PN hanya persefahaman elak bertembung, bukan gabungan appeared first on Utusan Malaysia.






